Jumaat, 22 Februari 2019 | 11:47am
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditemu ramah wartawan selepas kuliah Jumaat di kediamannya Kampung Rusila.- Foto Ghazali Kori

Jangan salahkan PAS jika kalah di Semenyih - Abdul Hadi

MARANG: “Jangan salahkan PAS jika BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) kalah di Semenyih kerana PKR dan DAP tak turun kerja,” dakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang itu melahirkan kebimbangan parti yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu bakal tumbang di Pilihan Raya Kecil (PRK) ini kerana tidak mendapat bantuan daripada parti komponen lain.

“Kita (PAS) bimbang PRK Semenyih ini BERSATU kalah kerana PKR dan DAP tak kerja.

“Jangan salahkan kita, kita nampak DAP dan PKR tidak turun bersungguh-sungguh,” ringkasnya ketika ditemui selepas Kuliah Mingguan di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada akan turun membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) di PRK Semenyih, beliau berkata ia bergantung kepada keadaan berikutan sibuk dengan beberapa program di luar dan dalam negeri.

Terdahulu, Abdul Hadi menegaskan PAS tetap akan memberi sokongan kepada Dr Mahathir dalam isu undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

“Kita tetap akan sokong (kepimpinan Dr Mahathir) walaupun dalam keadaan kita pembangkang... ini demi kepentingan kepimpinan orang Islam... ini penting,” katanya.

Ketika dipersoal sejauh mana kebenaran dakwaan itu, Abdul Hadi berkata pihaknya ada maklumat berkaitan rancangan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu.

“Kalau tak ada angin, pokok tak bergoyang. Kita ada maklumat sebab itu kita bagi sokongan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mendedahkan partinya mengusulkan akuan bertulis berbentuk contoh ketika pertemuan dengan Dr Mahathir di Yayasan Al-Bukhary, Jumaat lalu.

Akuan itu antara lain menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Dr Mahathir jika berlaku pengkhianatan daripada mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Berita Harian X