Khamis, 21 Februari 2019 | 9:03pm
NAIB Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. - Foto Asyraf Hamzah.

PH perlu letak calon tempatan di PRK Rantau

HULU LANGAT: Pakatan Harapan (PH) perlu meletakkan calon tempatan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi menjamin kemenangan pakatan itu.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, berkata faktor anak tempatan amat penting dalam menentukan keputusan mana-mana PRK kerana sesuatu kawasan itu akan menjadi tumpuan, berbanding ketika Pilihan Raya Umum (PRU).

“Saya setuju mesti diletakkan calon tempatan. Adalah penting untuk letakkan calon tempatan untuk PRK kerana semua tumpuan ada di situ.

“Keadaannya berbeza berbanding PRU. Jadi, lebih baik untuk letakkan calon tempatan yang akan jadi faktor penentu pengundi memilih calon,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasminya ke Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PH perlu memilih calon tempatan untuk PRK DUN Rantau, seperti yang dilaksanakan di PRK DUN Semenyih ketika ini.

Kelmarin, Zuraida dilaporkan berkata Wanita PKR sudah mengenal pasti tiga individu untuk diketengahkan sebagai calon dalam PRK DUN Rantau.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Pada 29 November tahun lalu, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.

450 dibaca
Berita Harian X