Selasa, 19 Februari 2019 | 7:01am
TIMBALAN Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap di Kampung Rinching Hilir. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kempen DUN Semenyih semakin 'panas'

HULU LANGAT: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang masuk hari keempat bertukar daripada ‘suam’ kepada ‘panas’.

Pemerhatian ini dibuat berdasarkan kepada gerak kerja kempen calon yang bertanding terutama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) apabila masing-masing membawa pemimpin kanan parti untuk berkempen.

Malah, boleh dikatakan sehingga malam tadi, PH sudah menampilkan pemimpin seperti Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden PH, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Isu nasional dan tempatan menjadi bahan kempen utama PH terutama dalam usaha mereka menangani kos sara hidup selain pelbagai inisiatif kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

BN pula dilihat setakat ini membawa bekas Pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak, yang kini terkenal dengan gelaran ‘Bossku’ walaupun kehadirannya didakwa atas kapasiti peribadi.

Bagaimanapun, kempen kedua-dua calon itu lebih bertumpu kepada ceramah kelompok kecil dan program berjumpa pengundi secara bersemuka di pasar awam, surau dan lawatan ke rumah asnaf serta penduduk yang sakit.

Hari keempat kempen hari ini juga akan menyaksikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang buat pertama kali turun berkempen selepas berehat dan menyerahkan tugas Presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali, 30; calon BN, Zakaria Hanafi, 58; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul, 25 dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 56.

Pilihan raya kecil itu diadakan susulan penyandangnya daripada PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Berita Harian X