Sabtu, 16 Februari 2019 | 1:10pm
Calon Bebas N24 Semenyih, Kuan Chee Heng, 56, atau 'Uncle Kentang'.

'Uncle Kentang' sempat urus jenazah sebelum penamaan calon

KAJANG: Meskipun sibuk dengan penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih hari ini yang kebetulan jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya, Kuan Chee Heng, 56, atau 'Uncle Kentang' masih sempat melaksanakan rutin tugas kesukarelawannya.

Sebelum tiba ke Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), aktivis masyarakat itu yang menjadi calon Bebas bagi PRK DUN Semenyih, sempat membantu seorang anak menguruskan jenazah bapanya jam 6 pagi tadi.

Chee Heng, 56, berkata, pintu rumahnya diketuk seorang lelaki yang datang dari Kuantan, Pahang, memohon bantuannya kerana dia tiada wang untuk menguruskan jenazah bapanya.

Aktivis masyarakat itu juga tidak meninggalkan rutin yang menjadi darah dagingnya sejak 30 tahun lalu walaupun sibuk menguruskan perjalanan kempennya, apabila sempat membantu menguruskan jenazah yang tidak dapat dibawa keluar daripada hospital semalam.

"Jam 6 pagi tadi, ada orang datang ketuk pintu minta tolong sambil menangis kerana bapanya meninggal, tetapi dia tiada duit nak uruskan dan bawa jenazah ayahnya pulang ke Melaka.

Calon Bebas N24 Semenyih, Kuan Chee Heng menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih di Pusat Penamaan Calon, Dewan Seri Cempaka. - Foto Asyraf Hamzah

"Semalam pun ada jenazah yang ditahan di hospital kerana waris tak mampu bayar bil dan jenazah tak dibenarkan untuk dibawa keluar, jadi saya bayar separuh bil itu dan selepas ni saya akan terus ke hospital itu untuk selesaikan bakinya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Chee Heng yang juga Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia mendapat jolokan 'Uncle Kentang' kerana kerap menyumbang bahan makanan itu kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Beliau yang tidak memiliki latar belakang politik, akan bertanding dengan calon Pakatan Harapan (PH), Muhamad Aiman Zainali, 30; calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi, 58, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul, 25.

Penamaan calon hari ini juga adalah ulang tahun kelahiran Chee Heng, yang menyifatkan perkara itu sebagai satu panggilan untuknya berbakti sehabis baik kepada masyarakat, sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.

Beliau yang juga ahli perniagaan, turut menegaskan tidak dibiayai mana-mana pihak untuk bertanding dalam PRK DUN Semenyih, sebaliknya menggunakan wang simpanan sendiri demi memastikan suara rakyat Semenyih didengari kerajaan.

"Saya bertanding untuk menang. Lebih penting, jika saya menang, ia bererti suara anak Semenyih yang tertindas, sakit dan lapar akan menang," katanya.

Mengulas pendekatan kempen, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu mahu membawa perkhidmatan kesukarelawanannya kepada penduduk Semenyih, dan tidak akan berceramah menjatuhkan parti politik atau lawannya.

"Antara isu di Semenyih ialah ramai penduduknya masih jauh daripada hospital dan orang susah sukar untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan.

"Saya orang kampung, anak penoreh getah. Saya tahu kesusahan yang dirasai rakyat. Ketika bapa saya diserang kanser, kami tiada duit pun untuk bayar ambulans.

"Bapa saya mati dalam keadaan yang menyedihkan di dalam estet getah, dan saya tidak mahu ada orang lain lalui situasi serupa," katanya, menegaskan tidak akan berhenti daripada kerja kemanusiaan walaupun kalah PRK itu.

Berita Harian X