Sabtu, 16 Februari 2019 | 1:07pm
MUHAMMAD Aiman (kiri) bersalaman bersama calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul di Pusat Penamaan Calon PRK Semenyih Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang. - Foto BERNAMA

Isu setempat jadi fokus sepanjang kempen - Muhammad Aiman

KAJANG: Walaupun tampil sebagai calon muda, Muhammad Aiman Zainali, 30, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) tidak gentar dengan calon parti lawan yang lebih berpengalaman.

Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Hulu Langat itu yakin hubungannya dengan penduduk setempat memberi kelebihan kepadanya.

“Semua penduduk Semenyih adalah rakan saya, jadi tiada masalah untuk saya bergaul, berhubung dan berinteraksi dengan mereka.

“Saya juga banyak terbabit dalam kerja-kerja parti dan kemasyarakatan. Jadi untuk dibandingkan dengan orang yang lebih berpengalaman, saya tiada masalah dengan penduduk Semenyih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Aiman berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada isu tempatan sepanjang tempoh berkempen.

“Fokus saya adalah lebih kepada isu setempat untuk membantu penduduk di Semenyih. Mengenai isu nasional, ramai pemimpin dalam PH yang akan membantu memberi penerangan berkaitan perkara itu,” katanya.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman, calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi, 58; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul, 25 serta calon Bebas, Kuan Chee Heng atau dikenali 'Uncle Kentang', 56.PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Bakhtiar mengalahkan wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada BN dengan 23,428 undi pada PRU-14.Hari mengundi bagi PRK Semenyih diadakan pada 2 Mac ini dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 26 Februari ini.

Berita Harian X