Jumaat, 15 Februari 2019 | 4:35pm
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

5 Ahli Parlimen, 8 ADUN dari Sabah serah borang BERSATU

KOTA KINABALU: Lima Ahli Parlimen dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah yang keluar UMNO pada akhir tahun lalu sudah menyerahkan borang permohonan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata hasrat menyertai parti itu menjadi semakin cerah dengan pengumuman Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir, mengenai kemasukan parti berkenaan ke Sabah.

Katanya, ketika ini kira-kira 100,000 ahli UMNO termasuk wakil rakyat dan bekas Ketua Bahagian UMNO dari seluruh negeri sudah mengisi borang untuk menyertai BERSATU.

“Kita bersyukur dengan pengumuman bahawa BERSATU akhirnya akan membuka cawangan di Sabah. Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad atas keputusan itu.

“Buat masa sekarang, kira-kira 100,000 ahli sudah menghantar permohonan menyertai BERSATU. Memang kami berhasrat dari awal lagi untuk menyertai BERSATU,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Antara bekas Ahli Parlimen UMNO Sabah yang mahu menyertai BERSATU ialah Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Bagi ADUN, selain Hajiji (Sulaman), bakinya ialah Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Ghulam Khan Bahadar (Kawang) dan Matbali Musah (Lumadan).

Hajiji yang kini berada di Madinah bagi mengerjakan umrah, berkata bagi kepemimpinan BERSATU di Sabah, ia terserah kepada Dr Mahathir untuk membuat keputusan.

Dr Mahathir hari ini berkata, kemasukan BERSATU ke Sabah dapat mengukuhkan lagi kerjasama dengan mereka yang meninggalkan UMNO tetapi tidak mahu menyertai rakan Pakatan Harapan (PH), khususnya Parti Warisan Sabah (WARISAN) di negeri ini.

Pada 5 Februari lalu, Hajiji menyatakan BERSATU pasti akan mengembangkan sayapnya ke Sabah tetapi enggan mendedahkan sama ada semua bekas wakil rakyat UMNO terbabit akan menyertai parti itu.

Beliau juga menegaskan, tidak akan menyertai WARISAN atau kembali semula ke pangkuan UMNO.

4759 dibaca
Berita Harian X