Khamis, 14 Februari 2019 | 8:53pm
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Penafian Nik Abduh bukan bohong, itu strategi - Takiyuddin

SEMENYIH: Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, tidak berbohong apabila menafikan rakaman audio mengenai penerimaan wang oleh beberapa pemimpin PAS daripada UMNO.

Mempertahankan penafian itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata penafian Nik Mohamad Abduh adalah strategi untuk berdepan musuh yang mahu merosakkan imej parti Islam itu.

“Dia sebenarnya tak berbohong, cuma dalam situasi dan perkara tertentu, kita lebih kurang tidak sahkan sesuatu benda itu. Itu sahaja.

“Dalam politik, kadang-kadang kita perlukan strategi. Tujuan isu RM90 juta dan semua itu dibangkitkan untuk mencemarkan imej PAS, khususnya ketika bakal berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Dalam konteks itu, sebagai mangsa keadaan, kami perlu memiliki strategi untuk bergerak. Kami tidak akui perkara tertentu atau mengatakan sesuatu dalam cara berbeza. Ia bukan pembohongan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) di sini, hari ini.

Semalam, Nik Mohamad Abduh mengakui berbohong atas permintaan parti apabila menafikan rakaman audio mengenai penerimaan wang daripada UMNO.

Ia susulan kenyataan Takiyuddin mewakili parti itu, yang mengakui rakaman audio individu membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO adalah Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Ditanya sama pengakuan itu bererti PAS memang menerima dana RM90 juta daripada UMNO, Takiyuddin menegaskan parti itu tidak pernah menerimanya dan jawapan itu tidak pernah berubah sehingga kini.

“Saya sudah berikan semua penyata akaun PAS dari 2015 hingga 2018 kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Nampaknya sehingga kini, SPRM tidak menemui bukti ada sejumlah wang yang besar dimasukkan ke akaun parti. Itu sangat jelas.

“Secara tersirat atau tidak langsung, tiada sebarang rekod kami terima walaupun RM10 juta, apatah lagi RM90 juta,” katanya.

1655 dibaca
Berita Harian X