Khamis, 14 Februari 2019 | 7:52pm

PH pertaruh calon muda di Semenyih

SEMENYIH: Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan anak muda yang juga anak jati Semenyih, Muhamad Aiman Zainali sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Aiman, 30, bapa kepada seorang anak, kini bertugas sebagai seorang jurutera dan juga Bendahari BERSATU bahagian Hulu Langat.

Beliau memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), kini sedang menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang sama.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PH, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Semenyih, di sini.

Turut hadir, Timbalan Presiden PH yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali; Naib Presiden PH, yang juga Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu disebabkan serangan jantung.


Muhyiddin menyampaikan watikah kepada Aiman pada majlis pengumuman calon Pakatan Harapan bagi PRK DUN Semenyih. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong,

Sementara itu, Muhyiddin ketika berucap yakin PH mampu mempertahan kerusi ini biarpun akui cabaran sengit bakal menanti mereka sepanjang tempoh berkempen kali ini.

Beliau berkata, BN pastinya akan menggunakan modal janji PH sebelum ini bagi melunturkan keyakinan pengundi di sini terhadap PH, namun pihaknya sedia berdepan situasi itu termasuk menjawab segala dakwaan bakal dilemparkan mereka.

"Kesungguhan PH Semenyih menjadi tapak ujian bagi kita. Kita tahu mereka akan lakukan tetapi kita akan jawab. Jangan lupa juga beberpaa perkara yang mereka lakukan sebelum ini.

"Dalam tempoh dua minggu ini (tempoh berkempen) kesungguhan kita melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan melawat setiap pengundi dan tawarkan ikrar kita untuk membantu mereka," katanya.


Pakatan Harapan mempertaruhkan anak muda yang juga anak jati Semenyih, Muhamad Aiman Zainali sebagai calon pada PRK DUN Semenyih. - NSTP/Asyraf Hamzah

Profil calon

Nama: Muhammad Aiman Zainali

Umur: 30 tahun

Kerjaya: Jurutera swasta

Status: Berkahwin

Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jawatan dalam parti: Bendahari BERSATU Bahagian Hulu Langat.

2252 dibaca
Berita Harian X