Khamis, 14 Februari 2019 | 5:31pm
Salahuddin menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di MAEPS Serdang. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pengakuan terima duit UMNO, biar rakyat nilai sendiri PAS - Salahuddin

SERDANG: Biarkan rakyat menilai mengenai PAS berikutan pengakuan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, mengenai rakaman suara beliau yang mengakui parti itu ada menerima wang daripada UMNO.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub, berkata dengan pengakuan itu kini semua orang tahu daripada mana PAS memperoleh banyak wang ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Katanya, sepanjang 35 tahun beliau di dalam PAS, sebelum menyertai AMANAH, parti itu mengumpul derma orang ramai bagi menampung perbelanjaan pilihan raya.

“Dulu PAS mengumpulkan derma jihad daripada orang kampung, ada yang menjual telur ayam dan harta untuk membantu mengumpul dana untuk pilihan raya.

“Tapi dalam PRU-14 lalu, kita lihat mereka mewah dan ada laporan yang kata mereka dapat wang daripada UMNO,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pengakuan Nik Mohamad Abduh, yang mengatakan mendapat restu kepemimpinan PAS untuk menafikan rakaman audio mengenai pengakuan penerimaan wang daripada UMNO.

Ahli Parlimen Bachok itu dilaporkan berkata, beliau enggan berbuat demikian sebagaimana keputusan parti, sebaliknya mahu bercakap benar kerana ia akan membebaskannya.

Namun, PAS berkeras dan memintanya menafikan perkara itu kerana fitnah perlu ditutup.

Salahuddin berkata, berdasarkan pengalaman lalu dengan PAS, beliau mengetahui mengenai kedudukan kewangan dan kemampuan parti itu dalam persediaan menghadapi pilihan raya.

Katanya, pada PRU-14 lalu, melihatkan kepada cara PAS, sudah mengesyaki ada banyak wang masuk dalam akaun tertentu.

“Saya tidak fikir duit sebanyak itu akan datang daripada PAS sendiri,” katanya

Mengulas pengakuan Nik Abduh mengenai penafiannya mendapat restu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Salahuddin berkata dengan pengakuan itu rakyat boleh mengetahui kebenaran mengenai parti berkenaan.

“Itu yang saya katakan, PAS ini parti yang berpusing-pusing. Akhirnya rakyat akan melihat kebenarannya, apabila ada banyak perkara didedahkan oleh orang PAS sendiri,” katanya.

Beliau berkata, dalam isu berkenaan, orang PAS sendiri yang buat pengakuan tanpa desakan daripada mana-mana pihak dan bukan parti AMANAH yang mendedahkan mengenainya.

“Kalau saya yang bercakap atau orang AMANAH bercakap (isu ini), orang kata kita jahat tapi hari ini akhirnya orang mereka sendiri mengakui. Biar rakyat menilai apa sebenarnya berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai rakaman suara itu, Salahuddin berkata dari dulu lagi beliau sudah mengetahui bahawa suara itu memang milik Nik Mohammad Abduh tetapi perkara itu dinafikannya.

“Ketika rakaman audio itu viral setahun lalu, saya memang tahu itu suara Nik Mohammad Abdul tetapi pelbagai pihak dalam PAS menafikannya dan kini terbukti dengan pengakuan beliau sendiri,” katanya

679 dibaca
Berita Harian X