Rabu, 13 Februari 2019 | 9:18pm

Penafian untuk jaga kerahsiaan, kepentingan parti - Nik Mohamad Abduh

KOTA BHARU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkata penafiannya berhubung rakaman audio mengenai penerimaan wang daripada UMNO sebelum ini, adalah untuk menjaga kerahsiaan dan kepentingan parti.

Ahli Parlimen Bachok itu juga beranggapan sekiranya beliau bercakap benar ketika itu, mungkin beliau melakukan sesuatu yang bodoh kerana boleh menjejas dan merugikan parti.

“Soal kerahsiaan lebih utama kerana kita berada dalam parti yang besar. Mengambil contoh di Kelantan, apabila dokumen isu baiah talak tular sebelum ini, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditanya, menafikan perkara itu.

“Bagi Allahyarham, kalau nak dikata bohong, maka bohonglah, tetapi sebenarnya Allahyarham mahu menjaga kerahsiaan. Itu antara pengalaman yang saya dapat sebagai anak kepada Menteri Besar Kelantan ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Nik Mohamad Abduh berkata, apa yang dilakukan itu bukanlah sesuatu yang rahsia, sebaliknya diketahui semua kepemimpinan PAS.

“Malah, kenyataan saya hari ini juga disokong semua pimpinan parti. Penafian saya hanya atas dasar disiplin walaupun saya berhak bercakap benar,” katanya.

Semalam, PAS mengaku rakaman audio individu membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO, adalah suara Nik Mohamad Abduh.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, dilaporkan sebagai berkata PAS sudah melakukan siasatan terperinci bagi meneliti apa yang berlaku, termasuk ucapan disampaikan Nik Mohamad Abduh itu secara keseluruhan.

“Kita boleh mengesahkan konteks ayat yang dimaksudkan Nik Mohamad Abduh secara keseluruhan bukan sebagaimana dicanangkan (pihak tertentu).

“Konsep kita, siapa nak beri sumbangan, kita kena terima dan perkara ini tidak perlu tanya sama ada (penyumbang itu) daripada UMNO atau PAS. Wang daripada UMNO memang tiada,” kata Takiyuddin.

905 dibaca
Nik Mohamad Abduh ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Zaman Huri Isa
Berita Harian X