Rabu, 13 Februari 2019 | 6:03pm
Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (kanan) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto NSTP

Abdul Hadi restu penafian suara - Nik Abduh

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkata tindakannya menafikan suaranya dalam rakaman audio mengenai penerimaan wang dari UMNO sebelum ini atas permintaan dan keputusan parti.

Perkara itu antara yang dimaklumkan dalam penjelasan panjang lebar yang dibahagikan kepada enam bahagian dan dimuat naik di akaun Facebook hari ini.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, berkata beliau enggan berbuat demikian sebagaimana keputusan parti sebaliknya mahu bercakap benar kerana ia akan membebaskannya.

“Namun mereka (PAS) berkeras dan meminta menafikan perkara itu kerana fitnah perlu ditutup.

“Dalam kesukaran, saya memohon jawapan daripada Presiden PAS dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang merestukan keputusan agar saya segera menafikannya.

“Saya akur dan gembira menerima mandat. Kenyataan saya kepada ketiga-tiga institusi (PAS, mahkamah, kerajaan Malaysia) adalah sama.

“Saya mengakui kebenaran suara saya itu. Saya juga menegaskan di hadapan mereka untuk saya terus menafikannya di hadapan publik sebagai hak menjaga kerahsiaan yang ditekankan oleh agama,” katanya.

Beliau berkata, penularan rakaman audio yang didakwa miliknya pada awal 2018 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU-14) tidak mengejutkannya, kerana beliau sudah pun dimaklumkan lebih awal bahawa akan dibocorkan rakaman itu kepada umum.

Katanya, terdapat tiga institusi yang berhak mengubah keputusan pertamanya itu iaitu PAS, mahkamah dan kerajaan Malaysia melalui siasatan oleh pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dengan erti lain katanya, beliau akan kekal menyimpan rahsia sehingga salah satu daripada tiga institusi itu memutuskan sebaliknya.

“Sebelum SPRM memanggil untuk siasatan, saya sudah pun dipanggil oleh pihak polis beberapa bulan lepas di Kuala Lumpur untuk memberi keterangan terhadap isu rakaman ucapan yang tular itu.

“Akhirnya, semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan, mengesahkan rakaman itu sebagai ucapan saya. Pagi ini, presiden PAS turut mengesahkannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Mohamad Abduh menjelaskan terdapat dua isi utama ucapannya iaitu meminta ‘kumpulan 40 atau bebudak terlebih tenaga’ ini berhenti daripada kegiatan menyiasat dan menghukum pimpinan parti dan menerangkan hukum agama berkaitan mengambil wang musuh politik, secara khusus, wang UMNO.

Beliau berkata, perlu difahami bahawa perjumpaan itu bukanlah yang pertama dan terakhir, ia selang seli di antara beberapa pertemuan dan tindakan yang berbeza.

Katanya, memang agak sukar bagi pendengar rakaman tular itu untuk memahaminya sepenuhnya, apatah ia soal kerahsiaan dalaman.

“Kekhilafan besar adalah dalam soal hukum mengambil wang orang UMNO. Mereka mendakwa, mengambil wang UMNO adalah rasuah semuanya. UMNO adalah musuh dan sebarang terimaan adalah berunsur rasuah.

“Saya dalam rakaman itu, selepas berkali-kali di luar sebelum itu, cuba menjelaskan bahawa ia adalah hukum yang salah dan merbahaya.

“Saya jelaskan bahawa menerima wang sesiapa pun daripada UMNO adalah haram hanya apabila ianya berbentuk rasuah atau sogokan atau ‘dedak’ yang bermaksud kita dengan pemberian itu terpaksa menjual perjuangan dengan mencairkan pendirian parti atau menyokong tindakan UMNO yang bersalahan dengan polisi parti.

“Adapun pemberian biasa seperti kekeluargaan, persahabatan, derma, kebajikan dan lain-lain, maka ia adalah harus. Bahkan ia menambah kasih sayang di antara umat Islam,” antara catatannya.

Nik Abduh berkata dalam perbincangan itu, semua sekata bahawa menerima wang UMNO adalah harus kecuali untuk tujuan rasuah.

1403 dibaca
Berita Harian X