Selasa, 12 Februari 2019 | 10:32pm
Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu menjawab pertanyaan media selepas Program Bicara Bersama Presiden PAN di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Sembulan, Kota Kinabalu. - Foto Khairull Azry Bidin

AMANAH tak risau wakil rakyat BERSATU makin ramai

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak bimbang dengan pertambahan kerusi dimiliki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berikutan kemasukan ramai bekas pemimpin UMNO ke dalam parti itu.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, berkata apa yang penting adalah untuk mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) khususnya sokongan Melayu di Semenanjung.

“Kami tidak risau, yang penting kita dalam PH. Kita nak kuatkan PH khasnya sokongan Melayu di Semenanjung. Saya setakat ini tak dengar Pengerusi PH (Tun Dr Mahathir Mohamad) janjikan apa-apa jawatan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bicara Presiden AMANAH di sini, malam ini.

Mohamad atau Mat Sabu berkata demikian sebagai mengulas mengenai enam bekas Ahli Parlimen UMNO yang menyertai BERSATU hari ini.

Mereka ialah Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menyertai BERSATU Disember lalu turut menerima kad keahlian bersama enam Ahli Parlimen berkenaan daripada Dr Mahathir merangkap Pengerusi BERSATU.

Penyertaan mereka menjadikan BERSATU kini mempunyai 22 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamad turut berharap ada bekas Ahli Parlimen atau pemimpin UMNO di Sabah menyertai AMANAH.

Mengenai isu membawa masuk BERSATU ke Sabah, Mohamad berkata perkara itu terserah kepada perbincangan di antara BERSATU dan Parti WARISAN Sabah.

1290 dibaca
Berita Harian X