Selasa, 12 Februari 2019 | 10:12pm
Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu berucap di Program Bicara Bersama Presiden PAN di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Sembulan, Kota Kinabalu. - Foto Khairull Azry Bidin

Isu landa PAS akibat 'perbuatan dalam gelap' - Mohamad Sabu

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa isu melanda PAS yang dikaitkan dengan penerimaan dana daripada UMNO berpunca perbuatan ‘dalam gelap’ pemimpin parti itu yang membuat keputusan tanpa melalui amalan musyawarah.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, berkata ia juga antara sebab berlaku perpecahan dalam PAS yang akhirnya membawa kepada kelahiran AMANAH diketuai beliau dan turut disertai ramai bekas pemimpin PAS yang lain.

Beliau berkata, pemimpin PAS mengambil pendekatan berbeza terhadap UMNO kerana tidak membincangkan cadangan bekerjasama dengan parti itu dalam musyawarah atau muktamar khas, berbanding kerjasama dengan DAP dan PKR sebelum ini yang dibincang terlebih dahulu termasuk menerusi muktamar khas.

“Akhirnya lahirlah AMANAH pada 16 September 2015. Lepas itu meletup rakaman audio video ‘ana tahu’ didedahkan Sarawak Report... saya tak mahu sebut berapa juta, ada orang kata RM90 juta ada kata RM200 juta, lima, enam juta. Bagi saya bukan penting angka itu.

“Audio itu bila Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) saman Sarawak Report dan Sarawak Report ambil audio itu sebagai bahan bukti di mahkamah dan diterima... di situlah tajuk ‘ana tahu siapa yang izin’, ‘ana tahu’ timbul,” katanya pada program Bicara Presiden Parti Amanah Negara di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi AMANAH Sabah, Haris Alimudin dan Ketua Pemuda AMANAH Sabah, Khairudin Daud.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan, berkata perbuatan dalam gelap itu perlu dijadikan iktibar kepada pemimpin AMANAH supaya setiap kerjasama dengan mana-mana pihak perlu dibuat melalui musyawarah dan keputusan bersama, terutama membabitkan perkara besar seperti menerima rakan kongsi.

“Daripada awal lagi peguam yang rapat dengan saya kata kes ini (saman terhadap Sarawak Report) dia yakin akan ditarik-balik sebab ‘tape’ ini kalau dipasang di mahkamah memang susah bagi pihak yang mendakwa itu membuktikan itu bukan Nik Abduh (Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz) yang bercakap,” dakwanya.

Sementara itu, beliau berkata, AMANAH semakin mendapat sambutan di Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan kira-kira 15,000 sudah menjadi ahli di negeri ini dengan terbaru 3,000 permohonan diterima malam ini, kebanyakannya daripada bekas pemimpin UMNO dan pesara kerajaan.

Berita Harian X