Ahad, 10 Februari 2019 | 6:52pm
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Arkib NSTP

PRK DUN Semenyih jadi referendum rakyat

SEMENYIH: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bakal menjadi referendum rakyat sama ada akan terus menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau beralih kepada pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata PRK itu akan menjadi medan dan peluang kepada rakyat untuk menzahirkan perasaan mereka adakah berpuas hati dengan usaha PH menunaikan janji pilihan raya seperti terkandung dalam manifesto atau sebaliknya.

Katanya, berdasarkan maklumat dan rekod pengundi di DUN Semenyih, ia merangkumi pengundi daripada pelbagai latar belakang ekonomi, status sosial dan demografi umur serta pendidikan.

“Pengundi di sini bermacam-macam latar belakang, ada yang profesional, berpendidikan tinggi, kaya, ada golongan pertengahan, rendah, ada yang tinggal di bandar, luar bandar, pelbagai peringkat umur dan kaum.

“Maka, PRK ini akan menjadi medan ujian untuk BN melihat sejauh mana rakyat benar-benar akan menzahirkan perasaan mereka, sama ada marah atau tidak puas hati atau menyokong PH.

“Sebab kalau BN menang sekali pun, ia tidak akan memberi kesan kepada kerajaan, tetapi ia boleh menjadi referendum rakyat terhadap rekod pencapaian PH selepas sembilan bulan menjadi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama kepemimpinan pemuda PAS, Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ketua Pemuda IKATAN, Shahir Adnan dan Ketua Pemuda BERJASA, Iqbal Hakim Abdul Razak.

Asyraf Wajdi berkata, kepemimpinan empat pemuda parti juga bersetuju untuk mengadakan pelbagai program dan aktiviti mendampingi rakyat di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) seluruh DUN Semenyih termasuk mendekati anak muda.

“Mereka perlu didampingi dan diberi pencerahan mengenai isu semasa hari ini. Kita akan meningkatkan gerak kerja dalam media massa dan sosial dan media baharu.

“Kita akan mengadakan banyak program konvensional selain aktif dalam siaran langsung menerus Facebook dan forum bersama,” katanya

Beliau turut berkata, mesyuarat julung kali diadakan pemimpin pemuda empat parti hari ini bersetuju mewujudkan jawatankuasa khas untuk memperinci program dan gerak kerja pembangkang dalam membela rakyat.

“Kami akan fokus kepada gerak kerja menjelang PRK DUN Semenyih. Kami bersepakat untuk teruskan kerjasama yang cukup baik di Cameron Highlands, bukan sekadar beraksi di pentas ceramah tapi di media sosial sehingga peringkat jentera pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Khalil berkata, kerjasama pemuda empat parti ini akan menjadi isyarat kepada PH yang tidak akan berlaku lagi pertandingan tiga penjuru dalam pembangkang pada PRK ini atau akan datang, termasuk pada pilihan raya umum (PRU).

“Kita sudah tunjukkan dalam PRK Parlimen Cameron Highlands dan jelmakan semula dalam PRK DUN Semenyih,” katanya.

1353 dibaca
Berita Harian X