Sabtu, 9 Februari 2019 | 7:10pm
Ketua AMANAH Bahagian Jasin, Yuhaizad Abdullah (tengah) bersama ahlinya menunjukkan laporan polis susulan fitnah terhadap Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Khamis lalu. - NSTP/Rasul Azli Samad

AMANAH terdesak mahu tutup kelemahan

MELAKA: Laporan polis yang dibuat Parti Amanah Negara (AMANAH) terhadap Pesuruhjaya PAS negeri Kamarudin Sidek, disifatkan sebagai langkah terdesak parti itu untuk menutup kelemahan mereka dalam mentadbir kerajaan negeri.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Bilal Rahudin, mendakwa laporan berkenaan tidak lebih daripada sekadar mahu menutup kelemahan kepemimpinan AMANAH Melaka dalam mentadbir kerajaan negeri, selain mengaburi kepentingan politik kepartian yang berlaku dalam jabatan atau agensi kerajaan.

“Mereka seolah-olah takut kepada bayang-bayang sendiri. Ini sebenarnya menimbulkan syak bahawa AMANAH Melaka sendiri menyembunyikan kepincangan.

“Malang sekali mereka berada di tampuk pemerintahan kerajaan dan tidak berani secara terbuka menjelaskan perkara sebenar atau cuba memperbetulkan keterlanjuran,” katanya pada sidang media di Pejabat PAS Melaka, di Semabok di sini, hari ini.

Selasa lalu, NSTP melaporkan AMANAH Melaka membuat lima laporan polis terhadap Kamaruddin kerana didakwa memfitnah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta kerajaan negeri.

Semua laporan itu dibuat di Balai Polis, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah susulan ceramah Kamaruddin pada majlis anjuran PAS dan UMNO di Kampung Pulau, Durian Tunggal, Alor Gajah sebelum ini.

Selain itu, dua laporan polis turut dibuat atas dakwaan sama oleh AMANAH Bahagian Jasin dan NGO, Amal Relief Malaysia, Melaka di IPD Jasin di sini, kelmarin.

Kesemua laporan itu dibuat susulan kenyataan Kamarudin dalam satu ceramah berhubung isu pelantikan jawatankuasa masjid dan isu tabung masjid.

Mengulas lanjut, Ahmad Bilal berkata sekiranya dakwaan dibuat Kamaruddin dikatakan sebagai tuduhan atau fitnah, mengapa tiada pihak yang bertemu rakyat bagi menyelesaikan isu berbangkit.

“Amalan, tradisi atau rutin di masjid atau kariah penduduk yang sudah mapan sejak sekian lama sedang diusik oleh tangan-tangan politik.

“Jangan memperbodohkan rakyat pada era kecelikan politik secara terbuka ini. Rakyat pada peringkat akar umbi sedang merasai walaupun kerajaan negeri cuba menafikannya,” katanya.

951 dibaca
Berita Harian X