Sabtu, 9 Februari 2019 | 5:44pm
Osman mengunci mulut dan tidak menjawab soalan media berhubung dakwaan tidak memiliki ijazah perakaunan dari sebuah universiti tempatan. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Isu ijazah palsu: Osman 'kunci mulut'

KULAI: Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, mengunci mulut dan tidak menjawab soalan media berhubung dakwaan tidak memiliki ijazah perakaunan dari sebuah universiti tempatan, sebentar tadi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor itu juga hanya tersenyum ketika diminta pemberita untuk menjawab dakwaan bahawa dirinya tidak memiliki ijazah yang viral di laman sosial sejak semalam.

Beliau kemudian beredar meninggalkan Majlis Rumah Terbuka dan Penyerahan Sumbangan Tahun Baharu Cina 2019 di Dewan Serbaguna Taman Putri di sini, hari ini.

Terdahulu, viral di media sosial dakwaan Osman tidak memiliki Ijazah Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) selain ada pihak yang turut membuat semakan secara dalam talian di laman sesawang rasmi universiti berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Hassan Karim, berkata isu membabitkan harta intelek iaitu sijil atau ijazah sememangnya memberi kesan terhadap kepemimpinan PH.

“Pihak yang membuat tuduhan ini perlu mengemukakan fakta dan sokongan terhadap tuduhan dibuat, manakala pihak yang dituduh juga sebaik-baiknya perlu menjelaskan dan menjawab perkara ini.

“Apa yang disiarkan di akhbar dan berita televisyen pada pandangan saya masih lagi dianggap sebagai ‘hear say’ (khabar angin) dan boleh menimbulkan persoalan serta persepsi dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersikap terbuka dan tindakan pihak yang menyiasat serta membongkar perkara berkenaan dilihat sebagai keterbukaan yang diamalkan kerajaan baharu PH bagi membolehkan orang ramai mengenali wakil rakyat mereka.

1404 dibaca
Berita Harian X