Sabtu, 9 Februari 2019 | 4:53pm
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Arkib NSTP

Penyelesaian luar mahkamah bukan bermakna akui tohmahan - PAS

KUALA LUMPUR: PAS bertegas persetujuan penyelesaian di luar mahkamah Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, bukan bermaksud parti itu mengakui tohmahan menerima dana RM90 juta daripada UMNO.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata PAS menghormati, menyambut baik dan menyokong penuh langkah muktamad yang diambil Presiden PAS itu selepas mendapat penjelasan lanjut, terperinci serta meneliti kronologi kes terbabit.

Justeru, katanya, PAS menyeru ahlinya supaya terus istiqamah dengan memberikan sepenuh ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan dan sentiasa berfikir untuk bertindak secara berhati-hati bagi mengelakkan terjebak dalam perangkap musuh.

“PAS percaya lagi yakin langkah yang diambil oleh Abdul Hadi dalam hal ini adalah selepas mengambil kira kepentingan PAS serta ahli PAS secara keseluruhan dari semua aspek.

“PAS juga percaya persetujuan penyelesaian di luar mahkamah secara tidak meneruskan tindakan ini sedikit pun tidak tergolong kepada pengakuan terhadap isu dan perkara berbangkit dalam kes ini mahupun tohmahan lain yang dibangkitkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dakwaan PAS menerima dana UMNO itu timbul kembali selepas Abdul Hadi membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown.

Keputusan itu dicapai menerusi Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi London dan disahkan oleh Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman, pada 2 Februari lalu.

Persetujuan membabitkan kedua-dua pihak, Abdul Hadi (plaintif) dan Rewcastle Brown (defendan), yang mana plaintif bersetuju tidak meneruskan tuntutannya terhadap defendan, dan defendan bersetuju tidak meneruskan tuntutan balasnya terhadap plaintif, tanpa perintah berkenaan kos.

340 dibaca
Berita Harian X