Sabtu, 9 Februari 2019 | 4:51pm
Adly berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MACMA dan MAIM di Melaka. - NSTP/Khairunisah Lokman

PAS disyor tubuh jawatankuasa dalaman siasat isu 1MDB

MELAKA: PAS sendiri sepatutnya menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman parti bagi menyiasat dakwaan wang RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), .

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, berkata PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sepatutnya mewakili prinsip itu, di mana soal integriti antara perkara paling diutamakan oleh Islam.

Malah, beliau yang juga Ketua Menteri Melaka, berkata PAS ketika era kepemimpinan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, sentiasa membangkitkan soal integriti dalam kepemimpinannya.

“Bagi saya, PAS sendiri boleh mengambil inisiatif dengan menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman, tidak hanya membiarkan SPRM menjalankan siasatan. Ini kerana, perkara ini (dana 1MDB) sudah berlaku lama.

“Melalui jawatankuasa itu, mereka boleh mengambil beberapa tindakan dan memberikan maklumat bagi memastikan bahawa bukan saja kalau benar dakwaan wang rakyat itu diambil, ia harus dipulangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Hotel Mudzaffar di sini, hari ini.

NSTP, pada Rabu lalu melaporkan SPRM akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin parti PAS.

Susulan itu, SPRM semalam memanggil beberapa anggota kepemimpinan PAS termasuk bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang dianggap antara saksi penting dalam siasatan dakwaan kes penerimaan dana berkenaan.

Portal Sarawak Report pada Ogos 2017 menyiarkan laporan, antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik sokongan mereka terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

613 dibaca
Berita Harian X