Sabtu, 9 Februari 2019 | 4:39pm

Pengundi di Semenyih fail saman pemula terhadap Azhar, SPR

SHAH ALAM: Seorang pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang dijangka melalui proses Pilihan Raya Kecil (PRK) bermula 16 Februari ini, memfailkan saman pemula terhadap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

Saman yang difailkan secara dalam talian oleh Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co itu turut menamakan SPR dan Kerajaan Persekutuan sebagai defendan dalam saman yang menuntut pelbagai deklarasi, antaranya pengisytiharan bahawa suruhanjaya itu tidak wujud dari segi undang-undang.

Peguam Datuk Shaharudin Ali, ketika dihubungi berkata pengundi berkenaan, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff, 58, yang diwakili firmanya, adalah seorang pengundi yang berdaftar di Semenyih, manakala saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada jam 11.39 malam tadi secara dalam talian.

Katanya, bila kes berkenaan akan didengar akan diketahui seawal Isnin ini.

Terdahulu, satu kenyataan media dihantar melalui aplikasi WhatsApp daripada Shaharudin, antara lain menyatakan Mahkamah Tinggi Shah Alam akan menentukan sama ada SPR yang mempunyai ‘seorang ahli’ saja boleh menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab berat yang dipertanggungjawabkan kepada suruhanjaya itu melalui Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, sememangnya fungsi utama SPR yang dipertanggungjawabkan oleh Perlembagaan Persekutuan adalah untuk pengawasan, arahan dan pengawalan serta penyediaan senarai pemilih selain mengadakan pilihan raya di Persekutuan dan kerajaan negeri ke Parlimen.

Namun, pihaknya berpendapat tidak dapat dibayangkan fungsi itu boleh dilaksanakan dengan mudah oleh seorang individu saja.

“Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa SPR, pada ketika ini, terdiri daripada seorang individu saja. Entiti seorang individu itu, pada pandangan kami, bukan satu SPR yang sah, diwujudkan mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika mahkamah membuat keputusan untuk berpihak kepada kami, nampaknya PRK DUN N24 (Semenyih) yang dijangka diadakan pada 16 Februari ini perlu menunggu sehingga komposisi SPR disahkan oleh Yang Dipertuan Agong, mengikut Perlembagaan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sudah memfailkan perakuan segera untuk memastikan supaya hujahan pihak-pihak boleh didengar dengan secepat mungkin.

Pada 21 September lalu, Azhar, 57, dilantik menjadi Pengerusi SPR, selepas bekas Pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, memendekkan tempoh perkhidmatannya berkuat kuasa 1 Julai.

Bagaimanapun, pada Oktober tahun lalu, Azhar mengumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood, memendekkan tempoh perkhidmatannya berkuat kuasa pada 1 Januari 2019, selaras dengan Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Turut memendekkan tempoh perkhidmatan ialah empat Ahli SPR iaitu Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi dan Datuk Leo Chong Cheong.

Azhar berkata, keputusan pemendekan tempoh perkhidmatan itu dicapai dan dipersetujui oleh mereka pada satu perbincangan yang diadakan pada 15 Oktober lalu, iaitu sebelum berita mengenai penubuhan tribunal khas disiarkan oleh media pada 17 Oktober lalu.

Pada 13 Januari lalu, Azhar dilaporkan berkata kekosongan jawatan Ahli SPR ketika ini tidak mengganggu atau menjejaskan fungsinya, serta tidak akan mewujudkan masalah kepada suruhanjaya itu untuk menguruskan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Pada masa sama, Azhar berkata beliau kurang pasti mengenai status pelantikan ahli baharu SPR kerana ia tidak termasuk dalam bidang kuasanya.

2795 dibaca
Berita Harian X