Sabtu, 9 Februari 2019 | 3:34pm
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PRK DUN Semenyih jadi pengukur - Khalid

PUTRAJAYA: Prestasi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini adalah pengukur sama ada ramalan firma penyelidikan, Fitch Solution bahawa populariti PH akan merudum berasas atau sebaliknya.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad, berkata PRK Semenyih boleh dijadikan penanda aras sejauh mana sokongan rakyat kepada PH kini.

“(PRK) Semenyih memang akan jadi penanda sejauh mana sokongan rakyat kepada PH, sama ada benar merosot atau sebaliknya.

“Jika dilihat dari satu sudut, sekiranya (sokongan rakyat) merosot atas sebab prestasi kerajaan PH ini adalah tidak seperti yang diharapkan, ia perlu difahami kerana kerajaan masih baru dan masih perlu menangani pelbagai masalah yang telah diwarisi (dari kerajaan terdahulu).

“Jadi tanggapan bahawa kita (kerajaan PH) tidak ‘deliver’, ia memang adalah tanggapan kuat dalam kalangan masyarakat tapi itu boleh ditangani dalam tahun-tahun dan masa akan datang. Tidak semestinya, sekiranya merosot ia adalah petanda apa yang akan berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau ditemui pada Pertandingan Memancing Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di sisiran tasik Presint 1, di sini, hari ini.

Pertandingan Memancing Putrajaya adalah acara tahunan anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) dan disertai kira-kira 1,800 kaki pancing dari seluruh negara.

Sebelum ini, media melaporkan firma penyelidikan, Fitch Solution meramalkan populariti PH dijangka merudum dalam beberapa bulan akan datang antara lain disebabkan perbalahan dalam gabungan parti itu dan kerajaan tidak membantu mengurangkan kos hidup.

Beliau berkata jangkaan dan harapan rakyat begitu tinggi ketika PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara dan selepas sembilan bulan rakyat mengharapkan segala-galanya berubah.

“Itu agak mustahil untuk kita lakukan dengan kadar sebegitu segera tetapi apa yang dijanjikan masih lagi menjadi sasaran dan akan kita usahakan.

“Cuma tempoh masa untuk dilaksanakan mungkin memerlukan sedikit masa kerana banyak lagi benda yang kita ‘warisi’ perlu kita selesaikan dengan baik,” katanya.

1164 dibaca
Berita Harian X