Sabtu, 9 Februari 2019 | 3:32pm
Muhyiddin pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa BERSATU Hulu Langat, di Semenyih, hari ini. - NSTP/Azhar Ramli

PRK DUN Semenyih: Calon PH akan diumum pada 14 Februari ini - Muhyiddin

SEMENYIH: Calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan diumumkan pada 14 Februari ini.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau sendiri akan membuat pengumuman itu.

Jika beliau tidak hadir, katanya, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan calon berkenaan.

“Pada umumnya, kita di bawah BERSATU dan PH sudah bersedia untuk hadapi PRK. Hari kita akan perkenalkan calon ialah pada 14 haribulan.

“Saya kalau tak turun, Tun (Dr Mahathir) akan maklumkan siapa calon kita. Senarai nama (akan diumumkan) jam 4 petang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa BERSATU Hulu Langat, penghulu dan ketua kampung DUN Semenyih di sini, hari ini.

Ketika diminta berkongsi kriteria calon untuk PRK DUN Semenyih, Muhyiddin sempat berseloroh dengan pemberita yang mengajukan soalan apabila mendedahkan individu itu mestilah kacak dan bermisai.

’Pendedahan’ itu mengundang tawa pemberita dan tetamu yang hadir.

Selain itu, katanya, lain-lain kelayakan seperti akademik juga diberi perhatian.

“Calon itu mesti handsome, ada misai. Kelayakan akademik, berbudi bahasa dan lain-lain lagi yang dianggap sesuai untuk jadi wakil rakyat.

Banyak pertemuan, orang mahukan calon tempatan. Kita ambil kira faktor itu,” katanya.

364 dibaca
Berita Harian X