Sabtu, 9 Februari 2019 | 3:30pm
Muhyiddin pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa BERSATU Hulu Langat, di Semenyih, hari ini. - NSTP/Azhar Ramli

Jangan pandang enteng kerjasama UMNO-PAS di PRK Semenyih - Muhyiddin

SEMENYIH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak seharusnya memandang remeh dan mengambil mudah kerjasama antara UMNO-PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata gabungan dua parti pembangkang itu sewaktu PRK Parlimen Cameron Highlands tempoh hari menyaksikan kombinasi mereka berhasil dan berjaya memenangi kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau optimis sambil menegaskan situasi di DUN Semenyih berbeza dengan Parlimen Cameron Highlands.

“Saya kurang pasti sama ada kuat (kerjasama UMNO-PAS). Nampak berjaya di Cameron Highlands.

“Tetapi di Semenyih tak sama (dengan Cameron Highland). Situasi pun tak sama.

“Apa pun, kita tak ambil mudah. Jika nak bergabung lagi (UMNO dan PAS)...kita (akan) ambil strategi untuk tangani mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa BERSATU Hulu Langat, di sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin juga sempat mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM), penghulu dan ketua kampung kampung peringkat DUN Semenyih.

Mengulas lanjut kerjasama antara UMNO dan PAS, Muhyiddin berkata, bukan semua ahli parti berkenaan bersetuju dengan jalinan kerjasama dua parti pembangkang itu.

Mengenai input yang diperolehi hasil pertemuan dan mesyuarat yang berlangsung hari ini, Muhyiddin menjelaskan, penduduk di Semenyih mahu masalah setempat yang berbangkit seperti banjir, kesesakan membabitkan lalulintas, Hospital Kajang dan klinik di beri perhatian.

Katanya, hal itu akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

1445 dibaca
Berita Harian X