Ahad, 3 Februari 2019 | 6:22pm
SETIAUSAHA Agung Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Marzuki Yahya. - Foto NSTP/Ramdzan Masiam

PH sasar majoriti lebih besar pada PRK Semenyih

BATU KAWAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan memberi laluan kepada mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Selangor.

Setiausaha Agungnya, Senator Datuk Marzuki Yahya, berkata ia berikutan keputusan terbabit sudah pun disepakati Majlis Presiden PH yang memperuntukkan kerusi berkenaan akan ditandingi calon daripada BERSATU.

“Tidak wujud persoalan mengenai calon yang akan bertanding di PRK DUN Semenyih kerana PH sudah pun putuskan ia akan ditandingi calon daripada BERSATU, selain turut menyasarkan majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Kita akan mengumumkan wakil yang akan bertanding pada PRK DUN Semenyih ini dua hari sebelum penamaan calon dan yakin kemenangan akan berpihak kepada PH, selain jangkaan lebih 60 peratus pengundi keluar mengundi pada 2 Mac depan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar, menerima sebanyak 100 borang keahlian baharu di Majlis Serahan Borang Keahlian BERSATU Penduduk Bandar Cassia, di sini.

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan susulan penyandangnya daripada PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang, Selangor akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kepemimpinan BERSATU yakin mampu menyelesaikan krisis dalaman yang berlaku di Perlis dalam masa terdekat.

“Saya sendiri sudah berjumpa dengan kepemimpinan BERSATU Perlis untuk mendapatkan pandangan dan maklumat lanjut mengenai perkara ini, semalam.

“Hasilnya akan dibawa ke perbincangan Majlis Presiden dan dijangka ia akan diselesaikan sebelum akhir bulan ini dengan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

1846 dibaca
Berita Harian X