Sabtu, 2 Februari 2019 | 5:51pm
EDDIN Syazlee Shith. - Foto BERNAMA

Elak provokasi yang mengundang keresahan rakyat

LANGKAWI: Semua pihak termasuk bekas pemimpin tertinggi kerajaan perlu mengelak provokasi yang boleh mengundang keresahan masyarakat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, berkata tiada pihak boleh melakukan tindakan sesuka hati kerana negara memiliki peraturan dan undang-undang.

“Mungkin laporan polis yang dibuat itu adalah atas kapasiti keselamatan dan tidak mahu berlaku perkara-perkara tidak diingini yang boleh menjejaskan keharmonian.

“Jadi, setiap orang perlu mengawal emosi dan jangan melanggar undang-undang dalam apa jua tindakan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jelajah Jejak Lagenda di pekarangan stesen radio LangkawiFM di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Langkawi membuat laporan polis berkaitan Program Bossku yang dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pantai Cenang, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penyiaran Kedah, Rafini Othman dan Timbalan Pengarah LangkawiFM, Merdziah Ibrahim

Difahamkan, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, di sini, petang semalam.

NSTP hari ini melaporkan polis mengesahkan menerima lima laporan berkaitan program yang dihadiri bekas Perdana Menteri itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, dilaporkan berkata lima laporan itu menggesa polis menyiasat sama ada program itu mendapat permit, ada unsur hasutan atau perkauman.

399 dibaca
Berita Harian X