Sabtu, 2 Februari 2019 | 3:29pm
NOH Omar (tengah) ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke-45 Tahun 2019 di Sekolah Kebangsaan Sungai Burong, Tanjong Karang. Foto NSTP/Faiz Anuar

Noh nafi akan keluar UMNO

KUALA SELANGOR: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, menafikan desas-desus bahawa dirinya akan mengikut langkah beberapa Ahli Parlimen UMNO yang bertindak keluar parti.

Beliau sebaliknya menegaskan akan kekal berjuang dalam UMNO, walaupun parti itu bukan lagi kerajaan pemerintah selepas tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Adalah mustahil untuk saya tinggalkan UMNO, apatah lagi mengkhianati pengundi yang memberi kepercayaan kepada saya menjadi wakil rakyat selama enam penggal berturut-turut.

“Saya menang bukan kerana nama Noh Omar. Kalau kerana nama Noh Omar, saya fikir saya tak boleh menang. Saya menang kerana mewakili tiket BN serta memiliki jentera yang sanggup bekerja siang malam.

“Saya boleh menilai betapa sukarnya mereka berkorban untuk beri kemenangan kepada saya, UMNO dan BN. Jadi, adalah tidak wajar untuk saya tinggalkan UMNO,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Noh mengulas desas desus yang mendakwa beliau akan mengikut jejak langkah enam Ahli Parlimen yang keluar UMNO pada 14 Disember tahun lalu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shahbudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Selain itu, gambar Noh bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, serta empat lagi pemimpin parti itu bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang viral di media sosial baru-baru ini turut menguatkan desas-desus berkenaan.

Menerusi foto yang tersebar itu, Mohamad bersama Noh, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Shahidan Kassim kelihatan tersenyum bergambar dengan Dr Mahathir.

Mengenai gambar viral dengan Dr Mahathir itu, Noh berkata pertemuan itu bukan membincangkan isu Ahli Parlimen UMNO lompat parti.

“Saya sedang mengerjakan umrah dan terkejut apabila gambar ini keluar di media sosial, tetapi saya tidak boleh buat kenyataan sebab yang bersama masa itu, Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), selaku Timbalan Presiden UMNO, beliau lebih layak bagi kenyataan.

“Kenyataan yang beliau keluarkan betul, kita pergi bukan hendak lompat, kita pergi sebab ada ura-ura UMNO hendak diharamkan, tetapi kita merayu jangan UMNO diharamkan.

“Tun (Dr Mahathir) bagi tahu kita, tidak akan haramkan UMNO, itu saja, tidak timbul isu lompat parti,” katanya.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang lebih cerah untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, berbanding Barisan Nasional (BN).

Noh berkata, walaupun BN menang pada PRK Parlimen Cameron Highlands, suasana serta pola pengundi di Semenyih sangat berbeza.

“BN perlu sedar bahawa keadaan di Pahang dengan Selangor, sedikit berbeza. Pahang adalah negeri di bawah BN, manakala di Selangor pula BN menjadi pembangkang sejak 2008.

“Namun, kita tidak boleh menolak peluang BN untuk melakukan kejutan dengan merampas kerusi DUN Semenyih. Dalam trend sekarang, tidak mustahil (untuk menang) dalam keadaan rakyat tengah marah janji tidak ditunaikan.

“Reaksi rakyat bawahan dan juga di Cameron Highlands itu akan sampai ke Semenyih. Bagi pengundi di Semenyih, inilah masa untuk menyedarkan kerajaan PH mengenai janji pilihan raya mereka,” katanya.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU-14 yang lalu, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua calon lagi iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac depan bagi tarikh mengundi PRK DUN Semenyih.

3891 dibaca
Berita Harian X