Jumaat, 1 Februari 2019 | 7:43pm

PH yakin menang di PRK Semenyih - Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Pakatan Harapan (PH) mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih melainkan ada sesuatu ‘luar biasa’ yang di bawa oleh UMNO dan PAS.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, berkata jika diambil kira majoriti kemenangan PH di Semenyih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kerjasama yang bakal wujud antara UMNO dan PAS nanti, majoriti yang boleh dimenangi calon PH adalah kira-kira 1,000 undi saja.

Justeru, katanya, PH sudah mengatur beberapa cara untuk memastikan kemenangan.

“Kami juga yakin akan dapat majoriti undi Melayu di Semenyih termasuk undi dari kaum lain juga.

Kemenangan kita dulu adalah kerana rakyat kecewa dengan pemerintahan lama.

“Bagaimanapun, tumpuan rakyat kini bukan kepada kesalahan lama tapi rakyat nak lihat kejayaan kita selepas ambil alih kerajaan.

“Kita akan jelaskan kepada rakyat apa yang kita sudah lakukan, sedang lakukan dan akan kita lakukan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Dr mahathir turut mengumumkan pelantikan Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Pengerusi Pilihan Raya PH.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU-14 yang lalu, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua calon lagi iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac depan bagi tarikh mengundi PRK DUN Semenyih.

1823 dibaca
Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X