Isnin, 28 Januari 2019 | 2:52pm
PESURUHJAYA PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar. - Foto Farizul Hafiz Awang

PAS Pahang kerjasama dengan BN demi manfaat rakyat

KUANTAN: PAS Pahang akan meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam pelbagai isu yang memberi manfaat kepada rakyat dan mempertahankan Islam yang terbukti berjaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Sabtu lalu.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, berkata sebelum ini pihaknya sudah bekerjasama dengan BN terutama UMNO dalam himpunan bantah ratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Kerjasama kita dalam bentuk isu semasa dan paling penting fokusnya adalah untuk mempertahankan Islam yang PAS sentiasa konsisten. Kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands adalah bukti kejayaan menerusi penyatuan dua parti itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada PRK Cameron Highlands, calon BN, Ramli Mohd Noor, mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands apabila meraih 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran (8,800 undi) dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Beliau memperoleh majoriti 3,238 undi. Pada PRK itu, 68.79 peratus daripada 31,639 pengundi atau 21,428 orang keluar mengundi, dengan 568 kertas undi ditolak dan 23 kertas undi tidak dikembalikan.

Mengulas lanjut, Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, berkata jentera PAS di Cameron Highlands mematuhi arahan pucuk pimpinan supaya menyokong calon BN pada PRK itu.

“Sokongan terhadap calon BN terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai meningkat dan ia membantu menambah majoriti dimenangi Ramli. Kita gembira dengan kemenangan itu yang membolehkan ada wakil pembangkang di Parlimen untuk membolehkan kerajaan sekarang dipantau dengan lebih rapi demi kepentingan rakyat,” katanya.

Katanya, kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands adalah satu amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya melakukan sesuatu bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan dihadapi rakyat pada masa kini.

“Di Parlimen Cameron Highlands ada banyak isu tempatan seperti kejatuhan harga sawit dan kesukaran dihadapi peneroka FELDA kini, ia memberi kesan kepada bentuk pengundian pada pilihan raya kecil itu. PH harus melihatnya sebagai satu amaran supaya berbuat sesuatu untuk menyelesaikan segala masalah itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, berkata kerjasama erat jentera pilihan raya BN dan PAS sepanjang PRK Cameron Highlands perlu diteruskan bagi menghadapi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Mac ini.

“Kesungguhan kerjasama yang ditunjukkan jentera pilihan raya PAS dan BN banyak membantu BN mengekalkan kemenangan di Parlimen Cameron Highlands, malah turut membantu meningkatkan majoriti calon.

“Momentum kerjasama erat dan sistematik sepanjang tempoh berkempen yang ditunjukkan PAS dan BN patut diteruskan ke PRK DUN Semenyih sekali gus berusaha merampas kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Berita Harian X