Ahad, 27 Januari 2019 | 2:48pm
Anthony Loke menyifatkan isu perkauman yang dimainkan dalam merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRK semalam adalah modal politik lama. - Arkib NSTP

Isu perkauman modal lama - Anthony Loke

NILAI: Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook, menyifatkan isu perkauman yang dimainkan Barisan Nasional (BN) dalam merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam adalah modal politik lama.

Beliau yang juga ahli Parlimen Seremban, berkata taktik itu memang sering digunakan oleh parti lawan bagi menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH), terutama DAP.

Katanya, sebelum ini hanya UMNO yang suka menggunakan isu kaum dan agama, namun sekarang modal yang sama juga turut digunakan oleh PAS.

“Sudah tentu PH sebagai parti yang berbilang kaum memperjuangkan hak rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

“Dasar-dasar yang dibentuk turut mengambil kira faktor kepelbagaian kaum serta dan agama dan semestinya kedudukan Islam sebagai agama rasmi yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan berjumlah RM310,000 kepada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu DUN Nilai. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar.


Kemenangan calon BN, Ramli Mohd Noor (dua dari kiri) dengan meraih 12,038 undi menewaskan calon PH, M Manogaran (8,800) undi) dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi). - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Bagaimanapun, kata Loke, PH menghormati keputusan PRK Cameron Highlands yang menyaksikan kemenangan calon BN, Ramli Mohd Noor, dengan meraih 12,038 undi menewaskan calon PH, M Manogaran (8,800) undi) dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

“Ini jelas menunjukkan di bawah PH, amalan demokrasi semakin subur dan kita menghormati keputusan rakyat.

“Keputusan undi awal yang menyaksikan majoriti undi daripada anggota keselamatan yang berpihak kepada BN juga jelas memperlihatkan bagaimana kerajaan hari ini tidak memberikan tekanan dan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anggota keselamatan untuk membuat pilihan.

“Kita juga mengucapkan tahniah kepada Ramli yang menjadi wakil Orang Asli pertama ke Parlimen,” katanya.

Loke berkata, PH juga akan mengadakan kajian bagi mengenal pasti punca kekalahan dan memperbaiki kelemahan di masa akan datang.

Berita Harian X