Sabtu, 26 Januari 2019 | 10:21pm
CALON bebas, Wong Seng Yee hanya perolehi 276 undi pada PRK Parlimen P078 Cameron Highlands. - Foto Aizuddin Saad

Sudah jangka hilang wang deposit - calon Bebas

CAMERON HIGHLANDS: Calon Bebas, Wong Seng Yee, sudah menjangkakan kehilangan wang deposit RM10,000 apabila hanya mendapat 276 undi.

Menurutnya, kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands itu bagaimanapun tidak sedikitpun melunturkan semangatnya untuk bergerak membantu masyarakat di daerah ini.

“Saya memang sudah bersedia kehilangan wang deposit itu tapi tidak bermakna saya tidak boleh membantu masyarakat di sini menggunakan cara sendiri.

“Kemenangan BN ini juga membuktikan masyarakat Orang Asli masih terhutang budi dengan jasa kerajaan sebelum ini yang banyak membantu mereka,” katanya ketika ditemui di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata, di sini sebentar tadi.

Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi parlimen itu selepas calonnya, Ramli Md Noor, menang dengan majoriti lebih besar iaitu 3,238 undi.

Beliau memperoleh 12,038 undi keseluruhan daripada 89 saluran undi sehingga penjumlahan tamat jam 8.30 malam.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis.

Calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran memperoleh 8,800 undi, diikuti dua calon bebas, iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing memperoleh 314 dan 276 undi.

Calon bertanding akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Ditanya harapannya kepada Ahli Parlimen yang baru dipilih itu, Seng Yee berkata Ramli diharap dapat membangunkan lagi ekonomi masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands.

931 dibaca
Berita Harian X