Jumaat, 25 Januari 2019 | 6:41pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada majlis ramah mesra di Dataran Sungai Koyan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P078 Cameron Highlands di Felda Sungai Koyan 3. - Foto Farizul Hafiz Awang

Rakyat perlu rasa malu terus sokong UMNO - Dr Mahathir

LIPIS: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat perlu berasa malu untuk terus menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya terkenal dengan bekas presiden kleptokratnya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata bukan saja kedua-dua parti itu ditolak rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, malah bekas presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa atas berpuluh tuduhan salahguna kuasa ketika pemerintahannya, turut ditolak anggota partinya sendiri.

“Dalam PRU-14, BN buat kali pertama ditolak kerana dipimpin seorang penyangak, satu dunia tahu dan panggil dia kleptokrat, itulah nama diberi kepada Najib.

“Tak malukah kita? (sokong Najib lagi). Sebab itu kita semua buang Najib daripada jadi perdana menteri dan UMNO pula buang Najib daripada jadi presiden parti,” katanya di hadapan ribuan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands di Sungai Koyan, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan calon PH bagi PRK berkenaan, M Manogaran.

Dr Mahathir, yang juga bekas Presiden UMNO selama 22 tahun, turut menzahirkan keyakinan bahawa parti tertua negara itu bersama-sama parti komponen BN sudah tidak mempunyai masa hadapan dalam landskap politik negara.

Malah, dakwanya, ramai daripada anggota UMNO yang mahu menyertai BERSATU dan PH, termasuk Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang berjumpa dengannya dan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan BERSATU.

Sepatutnya, kata beliau, parti itu tidak perlu lagi meletakkan calon dalam PRK berkenaan.

“Toksah (tidak perlu) bertanding lagi, orang UMNO sendiri tolak UMNO, ramai minta nak masuk BERSATU dan PH sebab tak percaya lagi pada UMNO, ini apa lagi nak pilih orang UMNO, dah tak ada dah UMNO, yang ada parti penyangak.


Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (kanan) dan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands M. Manogaran (kiri) pada program perjumpaan bersama warga Sungai Koyan di Dataran Sungai Koyan 1, hari ini. - Foto BERNAMA

"Jadi, buat apa nak pilih satu orang (calon BN, Ramli Mohd Nor), apa dia boleh buat? Biarlah dia Orang Asli, kita juga layan Orang Asli, tapi ini nak tipu Orang Asli, ambil Orang Asli jadi calon," katanya.

Ditanya mengenai gelaran Najib sebagai 'King of Troll', Dr Mahathir ketika ditemui pemberita sebaik selesai Solat Jumaat bersama jemaah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, berkata bekas Perdana Menteri itu hanya mencari simpati bagi mendapatkan sokongan semula daripada rakyat selepas berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah.

Beliau berkata tindakan anggota Parlimen Pekan itu dilihat sebagai antara usahanya untuk menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat kononnya beliau dianiaya

Dr Mahathir turut mengulangi, pemilihan Manogaran sebagai calon PH adalah tepat dan mendapat sokongan penuh daripada semua parti di bawah PH dan tidak timbul isu pemilihan calon berketurunan India itu tidak sesuai.

“Tepat, tepat, insya-Allah , bukan dia sorang saja, kita semua (di) belakang dia.

“Kadang-kadang di tempat lain orang India terpaksa sokong orang Melayu, di sini orang Melayu (pula) sokong orang India. Tetapi kita kalau tak sokong dia, tempat lain dia tak sokong kita, kita kalah la,” katanya.

"Saya nak merayu sama ada yg pakai baju merah (baju PH) atau yang tak pakai, sama ada Melayu, Orang Asli, India atau Cina, jangan sesekali undi BN atau calon UMNO, undilah PH...tunjuk kita sedar nasib kita di tangan kita, kalau silap undi, kita jadi mangsa, sebaliknya kalau undi PH nasib kita lebih terjamin," katanya.

PRK ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Manogaran, bekas pesara Polis Diraja Malaysia Ramli Mohd Nor mewakili BN dan dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani tempatan, Wong Seng Yee.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh dari BN pada PRU-14, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu. - BERNAMA

2025 dibaca
Berita Harian X