Jumaat, 25 Januari 2019 | 6:25pm
Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari. - Foto Muhammad Sulaiman

BERSATU senaraikan 5 calon PRK Semenyih

PELABUHAN KLANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah mengenalpasti lima calon sesuai bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Mac depan.

Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, berkata lima calon terbabit dikenal pasti sebagai individu yang boleh membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRK Semenyih.

Katanya, daripada lima calon itu, BERSATU turut mencadangkan seorang wanita sebagai calon.

“Senarai nama ini sudah diserahkan kepada ibu pejabat BERSATU. Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan bermesyuarat untuk tentukan calon.

“Semua calon ini adalah dalam kalangan ahli jawatan kuasa Bahagian, golongan muda, berkaliber, anak tempatan dan mempunyai kelulusan akademik tinggi.

“Bagaimanapun, sekiranya pengerusi atau pihak tertinggi mempunyai calon lebih baik, kita terima,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Geran Kampung Sungai Sireh di sini, hari ini, yang disempurnakan Menteri Besar, Amirudin Shari.

Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri menyerahkan proses memilih calon kepada BERSATU memandangkan kerusi berkenaan adalah milik parti itu.

Katanya, sekiranya berlaku perubahan terhadap calon, ia akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

“Kita akan teruskan tradisi sebelum ini iaitu mengekalkan calon dari parti yang sama. Kita akan susun dan umum semua dari masa ke semasa,” katanya.

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Berita Harian X