Jumaat, 25 Januari 2019 | 5:53pm
Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohamad Yassin 85. - Foto Nazirul Roselan

Selesaikan isu rumah terbengkalai, kos sara hidup

LIPIS: Kebanyakan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, terutama di gugusan FELDA Sungai Koyan, hanya mahu calon yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands esok, menyelesaikan isu kos sara hidup dan perumahan generasi kedua.

Bagi mereka, skandal dan isu di peringkat nasional tidak ada kesan secara langsung terhadap kehidupan seharian mereka.

Bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohamad Yassin, 84, masalah perumahan generasi kedua FELDA jauh lebih penting berbanding isu membabitkan syarikat pelaburan strategik negara, 1MDB.

“Kami yang tinggal di kampung macam Sungai Koyan ini bukannya hairan dengan isu seperti 1MDB. Kami tidak mahu tahu pun apa berlaku dengan 1MDB atau apa sajalah skandal yang orang luar cakap.

“Siapkan projek perumahan generasi kedua FELDA dahulu, barulah cakap pasal nak bantu kami. Daripada cakap pasal negara rugi, negara bankrap, kami di sini bukan nak tahu pasal semua benda lain.

“Kalau setakat datang beramai-ramai ketika musim Pilihan Raya Kecil (PRK) dan janji sahaja, kami tidak minat dengar,” katanya yang mula menjadi peneroka FELDA berkenaan sejak tahun 1975.

Difahamkan, terdapat 240 unit rumah generasi kedua FELDA di Sungai Koyan dan Kuala Medang kini terbengkalai kerana masalah tanah mendap serta gagal memiliki sijil layak menduduki (CF) daripada pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, seorang pengusaha kedai runcit, Rahana Hassan, 67, berkata siapa yang menang pada PRK kali ini tidak penting kerana kehidupan penduduk di sini tetap tidak banyak berubah.

“Dahulu ada Barisan Nasional (BN) jadi kerajaan sampai 60 tahun. Kami yang tinggal di sini, macam ini jugalah. Sekarang datang kerajaan baharu pula, kerajaan Pakatan Harapan (PH), sama sahaja. Tidak ada apa pun mereka buat untuk bantu kami.

“Kos sara hidup makin tinggi, mana ada turun (harga barang). Bagi yang masih mengusahakan ladang kelapa sawit, pergilah tanya mereka, berapa harga sawit ketika ini.

“Itu belum cakap bab kemudahan asas lain. Sekolah menengah pun tidak sempurna. Kalau ke kampung Orang Asli, lagi banyak masalah. Jalan tidak sempurnalah, bekalan elektrik dan air tidak adalah, macam-macam lagi (masalah),” katanya.

Sementara itu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Betau, Mohd Adele Aluwi ketika dihubungi berharap kerajaan dapat membantu meningkatkan prasarana, terutama kemudahan untuk sukan seperti hoki di sekolah berhampiran kawasan perkampungan Orang Asli.

“Kebanyakan anak Orang Asli mempunyai bakat dalam sukan. Mereka mudah mempelajari dan menguasai kemahiran yang diajar. Macam di sini, di SK Betau, memang ramai berbakat dalam sukan hoki dan ada antaranya ditawarkan ke sekolah sukan.

“Ini antara perkara yang perlu diberikan keutamaan dan kita mahu lihat lebih ramai (anak Orang Asli) berjaya, bukan sahaja dalam bidang sukan, bahkan cemerlang dalam pendidikan,” katanya.

304 dibaca
Berita Harian X