Jumaat, 25 Januari 2019 | 12:00pm
Azhar (dua dari kiri) melihat beg peti undi ketika mengadakan lawatan dan menghadiri taklimat persediaan akhir Pusat Semakan Peti Undi di Dewan Gemilang, SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, hari ini. - NSTP/Abdullah Yusof
Petugas SPR membuat pemeriksaan semakan isi peti undi bagi PRK Parlimen Cameron Highlands di Dewan Gemilang, SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, hari ini. - NSTP/Abdullah Yusof

PRK Parlimen Cameron Highlands: Persiapan SPR tahap optimum

CAMERON HIGHLANDS: Persiapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghadapi hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, esok, sudah pada tahap optimum.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, berkata seramai 811 petugas SPR bersedia melaksanakan tugas mereka sepanjang hari mengundi itu, manakala segala persediaan teknikal, termasuk berkaitan peti undi, berjalan lancar.

“Semua ahli serta petugas SPR hadir pada taklimat, hari ini, termasuk polis pengiring dan mereka memberi kerjasama sangat baik bagi memastikan kelancaran proses mengundi, esok, yang kini pada tahap 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menghadiri taklimat persediaan akhir Pusat Semakan Peti Undi di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, di sini, hari ini.

Mengenai persediaan dari segi pengangkutan dan logistik, Azhar berkata, sebanyak tiga helikopter membabitkan dua daripada SPR dan satu daripada polis, akan digunakan bagi membawa peti undi di kawasan sukar ditembusi.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira 70 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar akan keluar mengundi dengan keputusan penuh PRK dijangka diketahui sebelum atau pada jam 10 malam esok.


Azhar (dua dari kiri) melawat ke pusat semakan isi peti undi PRK Parlimen Cameron Highlands di Dewan Gemilang, SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, hari ini. - NSTP/Abdullah Yusof

“Saya ingin menasihati semua pengundi supaya keluar awal, dan menjadi tugas parti dan calon bertanding untuk meminta penyokong mereka keluar mengundi awal,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar turut memaklumkan SPR menerima lapan laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 29 laporan polis membabitkan pelbagai kesalahan pilihan raya mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Ia termasuk kesalahan menggunakan kenderaan kerajaan untuk tujuan kempen dan laporan berkaitan pembelian undi serta rasuah pilihan raya, manakala selebihnya adalah berhubung poster yang ada perkara sensitif,” katanya.

Pada PRK kali ini, seramai 32,009 orang layak mengundi, termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir dan 385 pengundi kurang upaya.

Ia bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran; Ramli Mohd Nor daripada Barisan Nasional (BN); dan dua calon Bebas, iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, serta petani tempatan, Wong Seng Yee.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya, 30 November lalu, mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

PRK kali ini adalah yang kelima selepas PRU-14 dengan tiga daripadanya membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor, serta PRK Parlimen Port Dickson.

245 dibaca
Berita Harian X