Rabu, 23 Januari 2019 | 3:53pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh (kiri) bergotong royong bersama penduduk kampung menyiapkan menu makan tengahari pada majlis ramah mesra bersama penduduk kampung, di Kampung keledek sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Parlimen Cameron Highlands. - Foto Farizul Hafiz Awang

Tindakan tegas perlu diambil jika terbukti bersalah - Dr Wan Azizah

LIPIS: Kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati bersalah menggunakan jentera dan aset kerajaan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata perkara itu sepatutnya sudah jelas dan bertepatan dengan dasar kerajaan Pusat yang ketika ini diterajui Pakatan Harapan (PH).

“Kalau betul dan terbukti bersalah, ia tetap salah... kita sudah bagi peringatan supaya semua (jentera) kerajaan tidak digunakan atau disalah guna (untuk PRK Cameron Highlands).

“Kita cuba untuk elakkan semua bentuk kontroversi... macam saya hari ini pun datang dengan kenderaan sendiri, cuma disebabkan saya ada jawatan lain (Timbalan Perdana Menteri), jadi adalah polis yang mengiringi (kenderaan)... itu pun saya cuba jarakkan kenderaan dengan kumpulan pengiring,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Jamuan Makan Tengahari Bersama Penduduk Kampung Keledek, dekat sini, hari ini.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra bersama penduduk kampung sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Parlimen Cameron Highlands di Tanjung Gahai. - Foto Farizul Hafiz Awang

Beliau yang juga Presiden PH, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden membabitkan Ahli Parlimen Raub (Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang didakwa menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan Negeri Pahang ketika berkempen pada PRK Cameron Highlands, hujung minggu lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa kononnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ingin memastikan calon BN menang dalam PRK Cameron Highlands, Dr Wan Azizah berkata, perkara itu adalah tidak betul.

“Ia tidak benar dan Tun (Dr Mahathir) juga akan ke sini dan bersama-sama membantu (kempen)... biasalah, mereka (BN) akan mengada-adakan cerita seperti ini dan ia bukanlah betul,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh meluangkan masa kira-kira 30 minit beramah mesra dengan penduduk di Medan Selera Tanjung Gahai, sebelum berdialog bersama masyarakat Orang Asli di Dusun Pak Senam, di sini.

Berita Harian X