Selasa, 22 Januari 2019 | 8:49pm
Mohamad bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Kayangan, Brinchang. - NSTP/Aizuddin Saad
Mohamad dan calon BN, Ramli Mohd Noor bersama jemaah selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Kayangan, Brinchang. - NSTP/Aizuddin Saad

Peluang BN baik tapi perlu kerja keras lagi

CAMERON HIGHLANDS: Peluang Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini dilihat positif.

Pemangku Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata setakat kempen yang sudah memasuki minggu kedua, sokongan yang diterima calon BN adalah baik.

“Setakat ini saya gembira dan saya rasa ia juga disebabkan oleh faktor calon, Ramli Mohd Noor yang juga anak tempatan dalam kalangan masyarakat Orang Asli di sini.

“Saya rasa ia juga antara faktor yang diperhatikan pengundi kerana sebelum ini BN meletakkan calon dari luar, jadi saya rasa peluang untuk Ramli menang agak baik kerana sokongan yang diberikan terhadapnya khususnya di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Jelai sangat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menghadiri solat Maghrib dan Isyak serta majlis bacaan tahlil di Masjid Kayangan, Brinchang di sini, malam ini.

Mohamad dijangka berada di Cameron Highlands dan Sungai Koyan sehingga petang Jumaat ini bagi membantu perjalanan kempen BN.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan dakwaan surat amaran yang diterima BN dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan aduan meletakkan gambar Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika kempen berlangsung, Mohamad berkata perkara itu bukanlah satu isu.

Katanya, ini kerana kedudukan Wan Rosdy sebagai ketua parti iaitu Pengerusi BN Pahang.

“Wan Rosdy dilantik sebagai ketua parti negeri dan sepatutnya ia tak menjadi isu besar,” katanya.

Berita Harian X