Selasa, 22 Januari 2019 | 3:14pm
Calon PH, M Manogaran beramah mesra dengan orang ramai ketika tinjauan mesra sempena kempen PRK Parlimen Cameron Highlands di Pasar Pagi Tanah Rata, Ahad lalu. - NSTP/Aizuddin Saad
Calon BN bagi PRK Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor (kiri) diiringi isteri Rozana Kamal (dua dari kiri) beramah mesra dengan pengundi ketika berkempen di Brinchang, Cameron Highlands, semalam. - NSTP/Abdullah Yusof

Pemimpin utama PH ketuai kempen saat akhir

CAMERON HIGHLANDS: Berbaki tiga hari lagi tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dijadual berkampung di sini mulai esok bagi meneruskan kempen saat akhir mereka untuk menarik undi.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual menghadiri program kempen bertemu pengundi dengan fokusnya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata.

Anwar akan menghadiri program ziarah bertemu pengundi di penempatan Orang Asli di Kampung Sungai Ruil, di Tanah Rata, petang esok.

Selesai itu, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, turut dijadual menghadiri program ceramah perdana anjuran PH yang berlangsung di Tanah Rata, bermula jam 9 malam.

Selain Anwar, turut dijangka menyampaikan ceramah, Setiausaha Agung DAP, yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; veteran DAP, Lim Kit Siang serta Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum (PRU) Mei tahun lalu, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanah Rata yang menempatkan pusat pentadbiran Cameron Highlands dimenangi PH dengan perbezaan undi agak kecil jika diambil kira undi diperoleh Barisan Nasional (BN) dan PAS.

PH yang turut diwakili M Manogaran ketika itu, berjaya memperoleh 1,083 undi, mengatasi 714 undi diperoleh BN, sementara PAS mendapat 244 undi.

Keputusan BN untuk bersama PAS dalam PRK kali ini dijangka memberi saingan sengit dalam PDM berkenaan.

Sementara itu di DUN Jelai, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yasin dijadual menghadiri beberapa siri kempen selama dua hari bermula Khamis ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dijadual menghadiri program ramah mesra serta melancarkan Program Dekati dan Fahami Al-Quran berlangsung di Kampung Kuala Medang.

Muhyiddin juga akan turun padang bertemu pengundi di Pekan Sari Kuala Medang, selain beberapa mesyuarat membabitkan jentera parti PH di Sungai Koyan.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu juga mengadakan ceramahnya di dua PDM itu semalam.

PDM Kuala Medang yang terletak di bawah DUN Jelai sebelum ini dikuasai BN, sementara PDM FELDA Sungai Koyan Satu, boleh dikatakan sebagai kubu kuat PAS.

Menjelang hari terakhir berkempen Jumaat ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika ini menghadiri siri lawatan kerja ke Austria, dijadual mengunjungi DUN Jelai, untuk bertemu pengundi di sana.

Mahathir dijadual berkempen di dua kawasan iaitu penempatan Orang Asli dengan satu program diatur berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Betau serta satu lagi, di FELDA Sungai Koyan Satu.

Kedua-dua PDM itu sebelum ini dimenangi BN dan PAS.

1391 dibaca
Berita Harian X