Selasa, 22 Januari 2019 | 12:23pm

PRK Semenyih: 6 nama sudah diserah kepada UMNO Pusat

SHAH ALAM: UMNO Selangor sudah menyerahkan enam nama kepada UMNO Pusat untuk dipertimbangkan sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka terdiri daripada pemimpin UMNO Bahagian, Wanita dan Pemuda Hulu Langat serta golongan profesional.

Beliau turut mengesahkan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz, yang memegang kerusi DUN Semenyih selama dua penggal, tidak akan bertanding.

“Calon yang dicadangkan mempunyai pelbagai latar belakang daripada yang ada jawatan dalam parti sehinggalah calon yang tidak terbabit langsung dengan parti.

“Kita harap UMNO Pusat dan BN dapat membuat pilihan terbaik untuk kita merampas kembali kerusi DUN Semenyih,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Selangor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan dan pemimpin kanan kedua-dua parti.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, berkata UMNO dan PAS akan menubuhkan jawatankuasa bersama untuk menyelaras program yang dijalankan sepanjang tempoh berkempen.

“UMNO dan PAS akan aturkan program yang lebih tersusun berbanding beberapa PRK sebelum ini. Contohnya jika program babitkan belia, kita akan gerakkan Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda PAS untuk bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Sallehen berkata PAS akan menggerakkan jentera kempen parti itu bagi membantu calon UMNO di Semenyih.

“PAS memperoleh 6,966 undi pada PRU-14 dan PAS akan memastikan bilangan undi yang diperoleh ini dikekalkan. Pada masa yang sama, PAS akan berusaha menambah 20 peratus lagi undi dalam kalangan penyokong kita,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Semenyih pada 2 Mac depan, manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU-14 9 Mei lalu, Bakhtiar memperoleh 23,428 undi mengetepikan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz (14,464), calon PAS, Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (1,293).

Bakhtiar mengalahkan Johan yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi.

614 dibaca
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Khairull Azry Bidin
Berita Harian X