Isnin, 21 Januari 2019 | 4:39pm
Ramli (kanan) beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli ketika berkempen di Kampung Terisu, Cameron Highlands, hari ini. - NSTP/Abdullah Yusof

Terima kasih Tun M - Ramli

CAMERON HIGHLANDS: Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor, menyatakan rasa terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengiktiraf peranan kerajaan terdahulu dalam membangunkan masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Ramli berkata, perkara itu dinyatakan sendiri perdana menteri pada sesi dialog di Oxford Union, London, baru-baru ini.

“Beliau (Tun Dr Mahathir) telah ditanya mengenai usaha kerajaan dalam memelihara kebajikan serta pembangunan Orang Asli yang kononnya tidak diberi layanan sama seperti golongan lain.

“Dalam reaksinya, Tun Dr Mahathir sendiri telah menyatakan bahawa Orang Asli di Malaysia diberi peluang dalam arus pembangunan negara sehinggakan ada dalam kalangan Orang Asli dilantik menjadi Senator di Dewan Negara.

“Begitulah luas peluang yang diberi sehinggakan beliau turut menyebut ada Orang Asli yang telah menjadi seorang Penolong Penguasa Polis (ACP), yang saya percaya ia merujuk kepada pencapaian saya,” katanya dalam entri terbaru Facebooknya hari ini.

Ramli berkata, Dr Mahathir juga ada menyebut tentang Orang Asli yang berpeluang melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara.

Katanya, kenyataan itu secara tidak langsung jelas membuktikan serta mengiktiraf BN dalam membangun dan meningkatkan taraf hidup Orang Asli selama lebih 60 tahun ia menguasai kepemimpinan negara ini.

“Terima kasih Dr Mahathir kerana menzahirkan pengiktirafan ini, apatah lagi pada acara penuh berprestij di Oxford Union.

“Untuk lebih menguatkan lagi pengiktirafan ini maka, undilah saya kerana saya seorang Orang Asli dari suku kaum Semai, sebagai Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat pula,” katanya.

5978 dibaca
Berita Harian X