Isnin, 21 Januari 2019 | 2:48pm
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.

UMNO jangan takut letak calon 'payung terjun' di Semenyih

SHAH ALAM: UMNO dinasihatkan tidak gentar untuk meletakkan calon ‘payung terjun’ bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac depan.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata trend politik sejak kebelakangan ini menunjukkan pengundi lebih mementingkan integriti seseorang calon yang bertanding berbanding isu calon tempatan atau luar.

“Pengundi mahukan calon yang bersih serta bebas daripada penyakit berkaitan salah laku serta sikap tidak elok yang boleh menghakis kepercayaan pengundi.

“Bukan bermaksud tidak boleh (calon tempatan). Kalau ada (calon tempatan) yang benar-benar bagus, kita boleh letak... ia bergantung kepada kawasan,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Mustapha berkata, walaupun semua pengundi mengenali calon yang bertanding, ia bukan jaminan untuk mereka memberi undi.

“Sebab itu saya katakan calon yang ditampilkan mestilah yang diterima pengundi, bukannya calon yang dikenali pemimpin UMNO bahagian.

“Ya, jika ada calon muda yang bagus, UMNO boleh pertaruhkan. Namun, saya tegaskan tua atau muda tidak penting. Rakyat mahu calon yang bebas daripada penyakit seperti yang saya jelaskan tadi,” katanya.

Sebelum ini Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz menolak syor mempertaruhkan calon ‘payung terjun’ pada PRK DUN Semenyih.

Ia susulan gesaan Ketua Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail yang mahu UMNO menampilkan calon muda muka baharu untuk menghadapi PRK berkenaan, seiring dengan usaha menjadikan UMNO sebagai parti masa depan.

Selain itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya sudah menggerakkan kumpulan penyelidik untuk mendapatkan maklum balas penduduk setempat mengenai calon UMNO layak dipertaruhkan di Semenyih.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Semenyih pada 2 Mac depan, manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU-14, 9 Mei lalu, Bakhtiar memperoleh 23,428 undi mengetepikan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz (14,464), calon PAS, Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (1,293).

692 dibaca
Berita Harian X