Sabtu, 19 Januari 2019 | 5:31pm
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Abu Bakar Yahya. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

BERSATU beri gambaran letak calon tempatan di PRK DUN Semenyih

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memberi gambaran akan meletakkan calon tempatan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang bakal diadakan bulan hadapan.

Ahli Majlis Tertingginya, Abu Bakar Yahya, berkata parti berkenaan mahu memilih calon yang mengenali masyarakat tempatan dan boleh turun padang pada bila-bila masa.

“Sebaik-baiknya biarlah calon tempatan yang sedia kenal dengan masyarakat di sana, calon ini jika menang dia akan jadi wakil rakyat, kena selalu turun padang, jika wakil rakyat duduk sahaja di rumah susahlah kita,” katanya ketika diminta mengulas sama ada BERSATU sudah muktamadkan calon bagi PRK DUN Semenyih.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Bola Tampar Piala Perdana Menteri Ketujuh yang julung-julung kali diadakan di sini hari ini.

Sejumlah 64 pasukan dari seluruh Selangor bertanding dalam kejohanan selama lima hari yang bermula hari ini.

Dalam pada itu Abu Bakar turut menasihati individu yang melobi untuk menjadi calon di PRK berkenaan supaya tidak memberontak jika tidak dipilih.

“BERSATU Selangor diberi hak untuk mengemukakan senarai calon, bagaimanapun pimpinan pusat yang akan memilih calon yang sesuai, jadi mereka yang tidak terpilih nanti perlulah menyokong dan bekerjasama untuk memenangkan parti di PRK nanti.

“Perjuangan parti perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi,” katanya.

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac dan penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari, manakala hari mengundi awal pada 26 Februari.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Allahyarham Bakhtiar, mewakili BERSATU memperoleh 23,428 undi menewaskan tiga calon lain, Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi. – BERNAMA

431 dibaca
Berita Harian X