Jumaat, 18 Januari 2019 | 10:11pm
PENGANALISIS politik, Datuk Ismail Sualman - Foto NSTP

PRK DUN Semenyih dijangka saksi saingan calon Melayu

KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka mempertaruhkan calon Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac ini.

Penganalisis politik, Datuk Ismail Sualman, berkata ia susulan komposisi pengundi Melayu, Jawa dan Rawa, lebih ramai berbanding pengundi kaum lain di kawasan berkenaan.

“Saya jangkakan PH akan ‘turunkan’ calon Melayu, cuma tidak pasti sama ada kekalkan calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau parti komponen lain, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

“UMNO sudah pasti akan meletakkan calon Melayu,” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Beliau mengulas keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan PRK Semenyih pada 2 Mac, penamaan calon pada 16 Februari dan mengundi awal, 26 Februari.

Seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis, yakin UMNO akan menentang BERSATU, dan mempertaruhkan calon Melayu.

“Ada kebarangkalian satu lawan satu, tetapi saya masih optimis ada calon bebas, mengambil kira sentimen pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU- 14),” katanya.

Mujibu berkata, keputusan PAS memberi laluan kepada UMNO menggambarkan kerjasama blok pembangkang semakin utuh.

“Semenyih, kawasan Melayu. BN secara tradisinya kuat di kawasan itu dan dijangka berdepan calon BERSATU.

“Mungkin sebab itu, PAS nampak tidak sesuai bertanding dan beri laluan kepada UMNO,” katanya.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib, berkata calon Melayu lebih sesuai dipertaruhkan susulan sentimen pengundi terhadap isu rusuhan kuil Seafield dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Ketika PRU-14, hanya satu calon India. Saya kira meletakkan calon Melayu adalah asas toleransi baik untuk parti gabungan, sama ada PH mahupun BN.

“Ada kemungkinan PRK Semenyih hanya satu lawan satu memandangkan populasi pengundi Melayu lebih 55 peratus,” katanya.

PRK DUN Semenyih diadakan apabila wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Pada PRU-14, 9 Mei lalu, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya Datuk Johan Abdul Aziz (BN); Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Hulu Langat itu mengalahkan Johan, wakil rakyat dua penggal DUN Semenyih, dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PRK DUN Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14.

Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK DUN iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

1477 dibaca
Berita Harian X