Jumaat, 18 Januari 2019 | 5:57pm
penganalisis politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi. - Foto Nik Hariff Hassan

GPS mampu kikis persepsi negatif - Penganalisis

KUCHING: Menjelang pelancaran rasmi Gabungan Parti Sarawak (GPS) esok, banyak komen negatif kedengaran, termasuk ada yang melabelkan komponen itu, sekadar ‘bersalin kulit’ atau ada yang menganggapnya sebagai ‘old wine in a new bottle’ kerana penggeraknya adalah bekas pemimpin Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, bagi penganalisis politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, GPS mampu keluar dari persepsi negatif, jika gabungan empat parti tempatan Sarawak itu berjaya membuktikan isu yang mereka bawa dan perjuangkan tidak sama ketika mereka berada dalam BN.

Awang Azman berkata, tidak sama yang beliau maksudkan ialah GPS harus membawa isu etnonasionalisme Sarawak atau isu berkaitan hak dan kepentingan dengan lebih agresif.

“Ini termasuklah isu royalti minyak dan isu maritim. Misalnya perjuangan kerajaan GPS dalam memastikan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, terutamanya berhubung hak terhadap mineral seperti petroleum dan gas, serta imigresen, tanah dan lain lain, perlu dilihat lebih lantang berbanding sebelum ini ketika dalam BN.

“GPS juga perlu membuktikan tanpa BN, mereka boleh bergerak dengan lebih baik lagi untuk membawa lebih banyak limpahan pembangunan di Sarawak,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Pada masa yang sama katanya, GPS perlu dilihat berpendirian teguh dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Maksudnya mereka harus berpendirian tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) ataupun kembali condong kepada BN.

“Jika mereka mampu melakukannya, ia akan akan meningkatkan lagi keyakinan penyokong untuk membantu mereka bangkit seterusnya mengukuhkan kedudukan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12,” katanya.

GPS yang dibentuk hasil gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) akan dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, malam esok.

199 dibaca
Berita Harian X