Khamis, 17 Januari 2019 | 3:01pm
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Khairull Azry Bidin

PRK: UMNO, PAS bentuk persefahaman

SHAH ALAM: Kesediaan PAS memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih membuktikan kedua-dua parti itu berjaya membentuk persefahaman politik yang utuh.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia dibuktikan apabila kepemimpinan tertinggi PAS turun membantu kempen calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRK Cameron Highlands.

“Kita berterima kasih kepada PAS yang mengumumkan untuk memberi laluan kepada rakan pembangkang bertanding di DUN Semenyih.

“Ia jelas menggambarkan keikhlasan PAS dalam menjalinkan kerjasama dengan UMNO dan BN sejak beberapa PRK lalu.

“Di Cameron Highlands kita dapat lihat Presiden, Timbalan Presiden dan pemimpin kanan PAS turun bantu kempen calon BN,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Ismail berkata, kerjasama antara kedua-dua parti itu bukan hanya membabitkan kepentingan politik semata-mata, tetapi juga demi agama dan bangsa.

Mengenai calon PRK DUN Semenyih, beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkata, perkara itu belum diputuskan lagi.

“UMNO Selangor akan bincang dalam mesyuarat pengurusan dan perhubungan. Kita bincang di peringkat negeri dahulu dan selepas itu baru cadangan ini diangkat kepada Timbalan Presiden yang kini jalankan tugas-tugas Presiden,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang semalam bersetuju tidak akan meletakkan calon pada PRK DUN Semenyih berikutan kekosongan kerusi susulan penyandangnya dari Pakatan Harapan, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata dengan keputusan itu parti itu akan memberikan laluan kepada wakil pembangkang iaitu BN yang memperoleh sokongan undi yang lebih besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Pada PRU-14, 9 Mei lalu, Bakhtiar memperoleh 23,428 undi mengetepikan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz (14,464), calon PAS, Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (1,293).

Bakhtiar mengalahkan Johan yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi.

966 dibaca
Berita Harian X