Khamis, 17 Januari 2019 | 12:09pm
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Arkib NSTP

PAS tidak tanding PRK DUN Semenyih

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang semalam bersetuju tidak akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berikutan kekosongan kerusi selepas kematian Ahli Dewan Undangan (ADUN) kawasan itu, Bakhtiar Mohd Nor, Jumaat lalu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, dengan keputusan itu maka PAS akan memberikan laluan kepada wakil pembangkang iaitu Barisan Nasional (BN) yang memperolehi sokongan undi yang lebih besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“PAS mengharapkan PRK ini menghasilkan keputusan yang akan menguatkan wakil pembangkang, terutama dalam DUN Selangor. Dengan itu maka proses semak dan imbang (check and balance) yang dimainkan oleh Pembangkang yang konstruktif akan memberikan kebaikan kepada rakyat negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sudah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi DUN Semenyih dan pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi membincangkan tarikh penting PRK Semenyih.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Takiyuddin berkata, selaras dengan itu, PAS akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat untuk membantu pihak pembangkang dalam menghadapi PRK ini.

“PAS juga akan menyeru dan mengarahkan ahli-ahlinya di kawasan ini supaya turun membuang undi seperti mana pendirian parti bagi memberi sokongan kepada calon yang mewakili pembangkang nanti,” katanya.

813 dibaca
Berita Harian X