Khamis, 17 Januari 2019 | 9:59am
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Arkib NSTP

Perjuangan MA63 'senjata' kuasai PRN12 - Unggah

BETONG: Hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diperjuangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS), malah menjadi agenda utamanya menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata perjuangan itu tidak akan berhenti selagi Kerajaan Pusat tidak mematuhi perjanjian berkenaan sepenuhnya.

Katanya, di bawah kepemimpinan GPS, kerajaan negeri cukup serius dalam usaha mengembalikan keistimewaan negeri ini yang dijanjikan dalam MA63 sejak perjuangan itu dimulakan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

“Ini adalah teras perjuangan GPS dan kerajaan negeri yang kini diteruskan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg....melindungi dan memulihara hak negeri serta rakyatnya.

“Kita akan memulihkan hak yang terhakis dari semasa ke semasa. Ia bukan retorik semata-mata tetapi kita komited dalam perjuangan ini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian selepas meraikan peserta Konvoi Jelajah Bendera GPS di Dewan Panglima Rentap, di sini semalam.

Justeru, Uggah menegaskan hanya pemimpin tempatan dari parti politik tempatan yang dapat menentukan masa depan dan hala tuju negeri ini tanpa campur tangan ‘orang luar’.

“Kita tahu bagaimana menyelesaikan masalah ini... kita tentukan acuan sendiri tanpa kebergantungan pada ‘orang luar’. Kita semua mahu Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi pada 2030,” katanya.

Mengenai Konvoi Jelajah Bendera GPS, beliau berharap ia mencapai tujuannya untuk memperkenalkan gabungan itu dan logonya kepada segenap lapisan rakyat.

“Burung Kenyalang akan menjadi simbol kita dalam pilihan raya negeri akan datang... kita akan bawa semangat perjuangan yang menjadi kebanggaan itu,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata, 65 inisiatif diperkenalkan Abang Johari sejak dua tahun lalu mencerminkan komitmennya membawa Sarawak dan rakyatnya ke arah kemajuan serta kemakmuran.

“Rakyat boleh menjangkakan masa depan yang lebih baik di bawah kepemimpinan Abang Johari, yang turut memberi penekanan terhadap pembangunan kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Selain Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), kerajaan negeri memperkenalkan Agensi Pembangunan Ulu Rejang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA),” katanya.

Katanya, ia akan menjadi pemangkin bagi pelaksanaan lebih banyak infrastruktur, termasuk sistem jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih, selain program pertanian yang bertujuan membawa kemajuan ke kawasan terbabit.

“Peruntukan RM11 bilion dalam belanjawan negeri tahun ini juga akan memastikan program pembangunan dan sebagainya dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Berita Harian X