Selasa, 15 Januari 2019 | 11:41am
Rizam Ismail. - Arkib NSTP

UMNO perlu tampilkan calon muda pada PRK Semenyih

SHAH ALAM: UMNO perlu menampilkan calon muda muka baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, kata Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail.

Beliau berkata, UMNO perlu berubah dengan memberi peluang kepada orang muda menjadi pemimpin, selain seiring dengan usaha menjadikan UMNO sebagai parti masa depan.

“Cadangan untuk meletakkan calon muda pada PRK DUN Semenyih adalah wajar kerana majoriti pengundi di kawasan ini terdiri daripada golongan muda.

“Malah, calon muda juga dilihat berupaya memainkan peranan sebagai suara orang muda di DUN Semenyih serta dalam parti.

“UMNO tidak boleh lagi membuang masa. UMNO harus membuat persediaan awal bagi melahirkan pemimpin berkualiti serta ikon generasi muda yang berwibawa,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Selangor kepada BH di sini, hari ini.

PRK DUN Semenyih bakal diadakan susulan penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada Jumaat lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua calon lagi iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak meminta kepemimpinan parti bersikap besar hati menerima orang muda yang memiliki kepandaian, Rizam berkata orang muda tetap memerlukan panduan orang lama dalam parti.

“Orang muda semata-mata tidak mungkin dapat mewujudkan keupayaan yang utuh atau berkesan, sebaliknya adunan antara muka lama dan muka baharu akan membuatkan UMNO menjadi lebih kuat untuk menarik kembali sokongan rakyat.

“Namun, apa yang lebih penting ialah kredibiliti dan integriti individu dalam adunan antara orang lama dan orang muda ini.

“Orang muda mungkin mempunyai idea segar serta lebih terbuka dengan keadaan politik semasa yang sangat diperlukan UMNO, manakala pengalaman politik orang lama juga penting untuk mencorak perjalanan parti,” katanya.

Berita Harian X