Isnin, 14 Januari 2019 | 4:45pm
SALLEHUDINN ketika sidang media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands ketika ditemui di rumahnya di Felda Sungai Koyan 1. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Calon Bebas tidak gentar lawan calon PH, BN

LIPIS: Calon Bebas, Sallehuddin Ab Talib mengakui sukar untuk menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), namun tidak gentar berdepan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Bekas pensyarah kanan Institut Pendidikan Guru (IPG) berusia 61 tahun itu menganggap PRK 26 Januari ini adalah peluang untuk pengundi memilih calon yang ikhlas memperjuangkan nasib rakyat.

“Pertembungan kali ini sangat sengit kerana saya akan melawan calon daripada dua kerajaan... calon PH, M Manogaran adalah kerajaan Pusat dan BN pula kerajaan negeri... jadi, susah juga kalau nak kira.

“Tapi, saya anggap ini adalah cabaran dan kalau kita ikhlas nak berjuang untuk rakyat di Sungai Koyan dan masyarakat Orang Asli, peluang itu tetap ada.

“Saya bertuah kerana keputusan bertanding ini direstui ahli keluarga, terutama ibu saya, Siti Aminah Keria dan isteri, Azizah Ali,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sallehuddin yang memiliki Sarjana Pendidikan (Pengurus dan Pentadbiran) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, keputusan untuk bertanding sudah lama dibuat sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selepas melihat kesusahan dihadapi warga peneroka dan masyarakat Orang Asli.

“Kalau dilihat pada masa ini, nasib peneroka semakin teruk dan hutang pun tidak berkesudahan... saya melihat masyarakat Orang Asli pun masih ketinggalan, selain orang kampung yang masih memerlukan perhatian... saya mahu membawa suara mereka ke Parlimen.

“Kalau nak kira logik akal, bagaimana hendak survival kalau tiada semangat dan semangat saya hanyalah untuk membela nasib rakyat,” katanya yang memilih simbol buku sebagai lambang digunakan pada kertas undi.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, BN dan Bebas.

Salehuddin yang juga generasi kedua FELDA Sungai Koyan 1, berkata masalah perumahan generasi kedua FELDA dan isu sosial lain seperti gejala penagihan dadah yang semakin membimbangkan di kebanyakan kawasan FELDA perlu ditangani dengan lebih serius.

“Hanya orang yang memahami masyarakat FELDA sahaja boleh membantu (menyelesaikan masalah berkenaan), jadi inilah yang saya tawarkan dan bertanding dalam PRK kali ini,” katanya.

Beliau yang mengakui tidak mempunyai jentera kempen seperti calon PH dan BN akan menumpukan gerak kerja melalui media sosial, di samping turun padang ke lokasi tertentu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai untuk bertemu pengundi dan berkempen.

202 dibaca
Berita Harian X