Isnin, 14 Januari 2019 | 1:01pm
MUHYIDDIN ketika sidang media selepas majlis Amanat Tahun Baharu di Dewan Auditorium Kompleks D, Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PH berpotensi jadikan Cameron Highlands lebih baik

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) berupaya menjadikan Cameron Highlands lebih baik jika parti itu diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 26 Januari ini.

Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata parti itu mempunyai kapasiti dan sumber yang lebih kukuh ke arah usaha membangunkan Cameron Highlands ke arah lebih baik.

Jelasnya, beliau juga mengetahui masalah dan isu di pusat pelancongan itu dan yakin PH mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN).

"Cameron Highlands adalah produk pelancongan namun ada banyak perkara yang boleh ditawarkan. Jadi, saya rasa lebih banyak lagi kita (PH) boleh lakukan di situ.

"Jika calon kita menang dalam PRK itu, sudah pasti beliau akan terus mempromosi Cameron Highlands malah menjadi lebih baik daripada sekadar produk pelancongan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui PH berdepan laluan sukar untuk menentang

BN pada PRK Parlimen Cameron Highlands.

Berita Harian X