Isnin, 14 Januari 2019 | 11:24am
Pemuda Orang Asli, Sari Atom, 37 daripada kampung Pos Lejang, terpaksa meredah lebih 10 kilo meter (KM) jalan hutan, hanya untuk menggunakan telefon pintar berikutan hanya kawasan sekitar Pos Betau sahaja yang mempunyai liputan telikomunikasi. - Foto Farizul Hafiz Awang

Penduduk Pos Betau mahu liputan telekomunikasi

LIPIS: Kira-kira 3,000 penduduk di perkampungan Orang Asli Pos Betau, di sini, meminta pihak berkenaan meningkatkan liputan telekomunikasi di kampung mereka.

Mereka mendakwa, masalah itu sudah berlanjutan sekian lama dan belum nampak mana-mana pihak bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah berkenaan.

Dengan hanya satu menara telekomunikasi dibina syarikat telco lima tahun lalu, sudah pasti ia tidak mampu menampung permintaan daripada 18 kampung yang terdapat di Pos Betau.

Sari Atom, 37, dari Kampung Pos Lenjang, mengakui telefon bimbit dimiliki kebanyakan penduduk kampung itu menjadi hiasan semata-semata kerana ketiadaan liputan di kawasan terbabit.

Katanya, beliau terpaksa pergi ke kawasan menara yang terletak kira-kira lima kilometer dari kampungnya jika ingin membuat sebarang panggilan.

“Saya pernah membantu mereka yang memerlukan bantuan kecemasan dan hantar sendiri menaiki motosikal ke pekan Sungai Koyan kerana masalah telekomunikasi.

“Memang menyusahkan, terutamanya apabila berlaku kecemasan seperti ibu bersalin atau kemalangan dalam perkampungan ini” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Simoi, Farez Lalak, 33, berkata insiden terbaru membabitkan seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli dari kampungnya melecur hingga 70 peratus selepas terkena renjatan elektrik di kawasan pencawang di Kampung Sentoi, diharapkan membuka mata pihak berkaitan.

Dalam kejadian 5 Januari lalu, bapa mangsa terpaksa ke kawasan pencawang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mendapatkan liputan telekomunikasi.

“Sudah lama kami memohon daripada kerajaan sebelum ini supaya lebih banyak pencawang dipasang, tetapi sehingga kini ia masih tiada perubahan.

“Jadi, kami berharap kerajaan baharu ini dapat mempertimbangkan rayuan penduduk memandangkan kemudahan liputan telekomunikasi sangat penting kepada kami semua,” katanya.

Mereka antara penduduk yang ditemui ketika kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, di kawasan berkenaan hari ini.

Sementara itu, Eddin Syazlee berkata satu mesyuarat bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Telekom Malaysia akan diadakan pada 18 Januari ini bagi membincangkan isu berkenaan.

Berita Harian X