Isnin, 14 Januari 2019 | 10:06am
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Annuar Rapaee. - Foto Jannah Kho

GPS bukan 'Anti-Semenanjung', kukuhkan kerjasama dengan Pusat

SIBU: Penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan bermakna negeri ini anti Semenanjung Malaysia tetapi adalah inisiatif anak tempatan untuk menentukan hala tuju mengikut acuan sendiri.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Annuar Rapaee, berkata, dengan tertubuhnya gabungan itu, ‘Anak Sarawak’ kini bergerak sendiri dan tidak bergantung kepada pihak lain demi kepentingan rakyat.

“GPS, yang menggabungkan empat parti politik di Sarawak boleh dianggap sebagai aset penting kerana mewakili setiap lapisan masyarakat yang akan menentukan masa depan negeri.

“Justeru, ‘Anak Sarawak’ digesa terus memberi sokongan padu kepada GPS bagi memastikan hak dan kepentingan mereka tidak dipertikaikan,” katanya.

Dr Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Sarawak berkata demikian pada Program Jelajah Bendera GPS di Dewan Kelab Melayu (MUC) Kampung Nyabor, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Snowdan Lawan menjelaskan rakyat negeri ini tidak sepatutnya memberi peluang kepada parti luar seperti Pakatan Harapan (PH) yang hanya tahu menabur janji manis yang tidak ditunai.

Katanya, sejak mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan pusat, PH banyak membuat keputusan pusingan U.

Selain PBB dan PRS, GPS turut dianggotai oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP)

Berita Harian X